Separuh rakyat AS percaya Trump rasis
WASHINGTON - Separuh daripada rakyat Amerika Syarikat (AS) menyifatkan Presiden Donald Trump seorang yang rasis susulan serangan ke atas Anggota Kongres kulit hitam, Elijah Cummings dan tanggapan buruknya terhadap keadaan di Baltimore, Maryland.
Satu kaji selidik oleh Universiti Quinnipiac yang diterbitkan semalam mendapati sebanyak 51 peratus responden percaya sentimen perkauman Trump menebal, manakala hanya 45 peratus berpendapat sebaliknya.
Kaji selidik dijalankan dari 25 hingga 28 Julai itu susulan komen Trump di Twitter menggelar Baltimore yang majoriti dihuni penduduk kulit hitam atau Afrika-Amerika sebagai menjijikkan, sarang tikus dan mendakwa tiada manusia mahu tinggal di bandar tersebut.
Baltimore adalah salah satu daerah diwakili Cummings yang juga Pengerusi Jawatankuasa Demokrat.
Anggota Demokrat beberapa ahli Republikan diterajui Trump menganggap kenyataan tersebut berbaur perkauman yang ditujukan kepada Cummings dan daerah itu yang mempunyai populasi lebih 60 peratus penduduk kulit hitam.
Awal bulan ini, Trump dikecam selepas mengeluarkan komen rasis terhadap empat anggota Kongres wanita Demokrat.
Trump meminta Alexandria Ocasio-Cortez dari New York; Ilhan Omar dari Minnesota; Rashida Tlaib dari Michigan dan Ayanna Pressley dari Massachusetts pulang ke negara asal mereka dilahirkan.
Tahun lalu Trump merujuk negara di Afrika sebagai ‘lubang najis’ dan bercakap mengenai ‘pencerobohan’ pendatang.
Beliau juga mengetuai anggapan teori konspirasi ‘kelahiran’ bahawa bekas Presiden Barack Obama tidak dilahirkan di bumi AS dan justeru, tidak layak menjadi presiden.
Pada Pilihan Raya Presiden 2016, Trump juga antara yang paling lantang menganggap penduduk kulit hitam ialah golongan berbahaya dan tidak banyak mendatangkan manfaat kepada negara itu.
Secara terang-terangan juga, hampir setiap kempen Trump menggunakan isu itu bagi mendapatkan sokongan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!