'Tolong jaga atau letakkan di rumah anak yatim'
SUNGAI BULOH - "Tolong jaga atau letakkan di rumah anak yatim. Saya minta maaf kerana tidak dapat jaga dia," demikian nota yang ditinggalkan di sisi bayi seorang lelaki ditemui di sebuah surau di Taman Subang Perdana di sini semalam.
Difahamkan, bayi berbaju biru dan diselimuti kain pelikat itu sedang lena tidur ditinggalkan di pintu masuk surau berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, anggota dari Balai Polis Kampung Baru Subang menerima maklumat penemuan bayi diperoleh daripada penduduk tempatan pada jam 6.40 pagi.
"Bayi itu ditemui dengan tali pusat sudah dipotong dan siasatan awal mendapati bayi dipercayai berusia sehari itu tidak mempunyai sijil kelahiran
"Pemeriksaan awal pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh di tempat kejadian mendapati fizikal bayi dalam keadaan normal dan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, bayi berkenaan itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
"Setakat ini tiada saksi bebas yang melihat kejadian itu. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!