Azmin didesak serah jawatan kepada Zuraida
KUALA LUMPUR – Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengosongkan jawatan Timbalan Presiden PKR bagi memberi laluan kepada Zuraida Kamaruddin yang disifatkan lebih bertanggungjawab terhadap parti.
Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, P Janapala berkata, sewajarnya Mohamed Azmin perlu berundur secara sukarela untuk beri laluan kepada Zuraida yang juga Naib Presiden PKR, memandangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu terlalu sibuk.
Menurutnya, ahli-ahli PKR memegang Fasal 21.16 Perlembagaan PKR yang menggariskan 'mana-mana ahli pimpinan pusat mungkir menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan disifatkan sebagai meletakkan jawatan dalam MPP.
“Kami ahli biasa PKR anggap dia (Mohamed Azmin) tidak lagi memegang apa-apa jawatan, tidak berhak atau secara automatik bukan lagi Timbalan Presiden PKR.
“Maka kami minta supaya seseorang yang mempunyai kedudukan selepas Mohamed Azmin seperti Zuraida patut diberi laluan, ambil alih kerana Azmin tidak ada masa, dia terlalu sibuk, dia lebih sibuk daripada Perdana Menteri sebab Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri semua boleh hadir mesyuarat sama ada mesyuarat Bersatu atau mesyuarat PKR,” katanya ketika ditemui media di Jabatan Pendafaran Pertubuhan (ROS) di sini hari ini.
P Janapala menegaskan, susulan tindakan sedemikian yang ditunjukkan Timbalan Presiden PKR itu, maka beliau diminta untuk meletakkan jawatan secara sukarela bagi memberi laluan kepada Zuraida untuk ambil alih posisi tersebut.
“Kami nampak Zuraida pamer prestasi lebih baik daripada Mohamed Azmin, dia bertanggungjawab hadir semua mesyuarat.
“Jadi berilah laluan kepada Zuraida dan biar jentera parti jalankan tugas mereka dengan lancar, licin tidak ada apa-apa halangan,” cadangnya.
Seorang lagi Ahli PKR Cabang Selayang, Dr B Rajendran berkata, semua ahli parti harus menghormati peraturan parti.
“Tak semestinya jika dia seorang menteri, dia berhak ‘overule’ parti. Kami ahli-ahli PKR yang pilih dia tapi tak ‘perform’, parti tak perlu buang masa lagi.
“Malah Mohamed Azmin bertindak seolah-olah dia cuma ahli biasa, bukan salah seorang barisan kepimpinan PKR,” kataya.
Beberapa ahli PKR yang lain, turut mempersoalkan mengapa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melayan Mohamed Azmin dengan istimewa kerana tiada sebarang tindakan tatatertib dikenakan terhadapnya.
Malah mereka turut menyatakan bahawa Mohamed Azmin tidak pernah sekali pun memberitahu pada mana-mana majlis bahawa Anwar adalah bakal Perdana Menteri kelapan.
Hari ini, ahli-ahli PKR itu ke ROS Kuala Lumpur untuk mendapatkan penjelasan berhubung status Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR, namun perkara itu hanya boleh di rujuk di ROS Putrajaya esok.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Mohamed Azmin tidak pernah hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik sejak November 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!