Hanya Tun M mampu kawal, stabilkan kerajaan: Mohd Amar
KOTA BHARU - Hanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang mampu mengawal dan memastikan kestabilan kerajaan, orang lain mungkin akan menyebabkan akan berlaku kerajaan tidak stabil dan beri kesan kepada politik dan ekonomi, demikian menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Beliau berkata jawatan itu Perdana Menteri perlu digalas oleh Dr Mahathir sehingga tamat penggal memandangkan sikap dan daya kepimpinan yang ada pada beliau mampu mengawal pentadbiran baru dalam Pakatan Harapan (PH).
"Bukan sengaja nak sokong. Pas sendiri melihat beberapa aspek dan gabungan PH ini lebih bersifat longgar, jadi dia kena ada ketua yang kuat.
"Kita nampak sekarang ini ketua yang kuatnya adalah Dr Mahathir, dengan pengalaman dan sikap. Kita semua pun tahu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai isu tersebut selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas-UMNO akan pertahan Tun M kekal PM sampai habis penggal
ARTIKEL BERKAITAN: Azmin sokong Tun M jadi PM hingga akhir penggal
Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyatakan sokongan parti itu bersama-sama UMNO akan bekerjasama untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat PRU14.
Usaha tersebut akan terus dilakukan walaupun didakwa wujud perjanjian dalam Pakatan Harapan untuk Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri kepada penggantinya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum habis penggal penuhnya.
Perkara sama juga dinyatakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR kerana mahu Malaysia terus terjamin dari segi kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!