Kementerian Kesihatan cadang wujud Jabatan Perubatan Nuklear

Boon Chye (tiga, kanan) melawat pameran selepas merasmikan Persidangan Perubatan Nuklear Peringkat Kebangsaan 2019 di Port Dickson, hari ini.
Boon Chye (tiga, kanan) melawat pameran selepas merasmikan Persidangan Perubatan Nuklear Peringkat Kebangsaan 2019 di Port Dickson, hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Kesihatan bercadang mewujudkan sebuah Jabatan Perubatan Nuklear di Pusat Perubatan Kanser, Sungai Petani, Kedah sebagai usaha memberikan rawatan lebih baik kepada pesakitnya.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, Pusat Perubatan Kanser di Sungai Petani itu masih dalam pembinaan dengan kos sebanyak RM500 juta dan dijangka siap tiga tahun lagi.

"Ini menjadikan Jabatan Perubatan Nuklear ketujuh selepas enam hospital sebelum ini dilengkapi dengan jabatan tersebut.

"Enam hospital itu ialah Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Institut Kanser Negara, Hospital Likas, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sultanah Aminah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perubatan Nuklear Peringkat Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Boon Chye berkata, pihaknya yakin dengan penambahan jabatan itu di utara mampu memberikan perkhidmatan dan rawatan lebih baik kepada pesakit.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya memperuntukkan lebih kurang RM5 bilion bagi menaik taraf kemudahan di hospital sedia ada selain membina hospital baharu di seluruh negara.

"Setakat ini, hospital baharu yang dalam pembinaan adalah di Pasir Gudang, Johor dan Petra Jaya, Sarawak. Kos pembinaan bagi setiap hospital membabitkan RM500 juta manakala di Dungun membabitkan kos sebanyak RM100 juta.

"Peruntukan itu juga akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan di 12 hospital di negara ini dalam tempoh lima tahun selain merancang membina beberapa hospital lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!