Jangan aniaya haiwan baik yang halal atau haram: Mufti NS

Gambar anjing yang dikerat mulutnya tular di media sosial. (Gambar kecil: Mohd Yusof Ahmad)
Gambar anjing yang dikerat mulutnya tular di media sosial. (Gambar kecil: Mohd Yusof Ahmad)
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menjelaskan bahawa berdosa menganiaya haiwan sama ada binatang haram atau yang halal dimakan atau disentuh bagi orang Islam.

Menurutnya, semua haiwan perlu dikasihani melainkan yang membahayakan nyawa maka dibolehkan untuk membunuhnya.

“Tidak kira haiwan itu halal atau haram bagi umat Islam, asalkan ia tidak mengancam kita maka tidak boleh diseksa atau dicederakan.

“Hukum jika melakukan perkara tidak perikemanusiaan itu adalah berdosa kerana menganiaya binatang.

“Jika binatang berbahaya yang mengganas sehingga mengancam nyawa, lebih baik terus dibunuh tanpa mencederakan sehingga boleh menyiksanya,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dua keping gambar yang tular di media sosial memaparkan seekor anjing dipotong mulutnya sehingga mendatangkan kecederaan teruk pada haiwan tersebut.

Berdasarkan laporan media, kejadian itu berlaku di Sabah di mana seorang yang sedang mabuk memotong mulut anjing tersebut yang didakwa meminta makanan.

Ternyata gambar yang tular itu mendapat kecaman semua pihak termasuk pencinta haiwan dan mahukan tindakan tegas dikenakan ke atas si pelaku.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, sekiranya haiwan tersebut menyusahkan atau mendatangkan ketidakselesaan kepada seseorang, lebih baik laporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan untuk mereka mengambil tindakan sepatutnya ke atas haiwan itu.

“Jangan ambil tindakan dengan mencederakan haiwan itu. Berdosa kerana anjing juga makhluk ALLAH,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!