Tiada cadangan gabung ITBM, DBP

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedudukan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang berperanan sebagai badan penterjemahan masih kekal relevan dan belum ada cadangan untuk menggabungkan agensi itu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, ITBM akan terus memberikan khidmat berkaitan terjemahan buku dan dokumen selain melatih dan meningkatkan kemahiran penterjemah dan jurubahasa untuk memenuhi keperluan negara.

"Kewujudan ITBM adalah kekal dan masih relevan bagi memainkan peranan sebagai badan penterjemahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Dengan itu, kedudukan ITBM akan diperkasakan bersama-sama agensi lain yang berada di bawah penyeliaan kementerian ini," katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Abidullah Salleh yang ingin tahu sama ada kementerian itu akan menggabungkan ITBM dan DBP.

Sebelum ini, media melaporkan ITBM akan ditutup dengan fungsi terjemahan dan penerbitan buku akan dikembalikan semula kepada DBP berikutan masalah hutang yang dialami agensi itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!