Pekerja bengkel nyaris maut dihempap besi satu tan

Longgokan besi yang menghempap mangsa sejurus bangsal bengkel berkenaan runtuh.
Longgokan besi yang menghempap mangsa sejurus bangsal bengkel berkenaan runtuh.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja di sebuah bengkel kimpalan nyaris maut dihempap longgokan besi seberat lebih satu tan selepas bangsal bengkel berkenaan runtuh dalam kejadian di Kampung Kebor Air, Manir, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa Saiful Bakhtiar Mustafa, 38, terperangkap hampir 15 minit di dalam longgokan besi itu sebelum diselamatkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Kuala Terengganu.

Mangsa yang cedera di kaki dan pinggang diusung ke ambulans sejurus dikeluarkan bagi mendapatkan rawatan.
Mangsa yang cedera di kaki dan pinggang diusung ke ambulans sejurus dikeluarkan bagi mendapatkan rawatan.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakan sekerjanya sedang menyusun besi-besi tersebut di atas rak simpanan di bangsal sebelum runtuh secara tiba-tiba.

Kejadian berlaku begitu pantas, mangsa yang ketika itu berada di bawah bangsal tidak sempat melarikan diri manakala tiga lagi rakannya selamat kerana secara kebetulan mereka keluar dari bangsal tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 12.05 tengah hari.

"Sebaik tiba, didapati di bawah bangsal bengkel dipenuhi longgokan besi dipercayai yang disusun untuk tujuan jualan dan mendapati terdapat seorang lelaki di bawah longgokan tersebut.

"Mangsa ketika itu kelihatan stabil dan masih mampu bercakap memberitahu kepada kami yang dia tidak dapat bergerak kerana kakinya kebas semasa kerja-kerja menyelamat sedang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mengalami kecederaan di kaki dan pinggang seterusnya dihantar mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini oleh ambulans," katanya ketika ditemui di lokasi.

Jelas Rozizah lagi, siasatan awal mendapati punca runtuhan adalah disebabkan lebihan bebanan, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar.

Sementara itu usaha Sinar Harian untuk menemuramah pemilik bengkel tersebut gagal kerana dia didakwa masih dalam keadaan trauma dan enggan memberi sebarang komen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!