Beza 'cai' Amanah dan Pas
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sistem 'cai' yang bakal diperkenalkan dalam pemilihan Pemuda Amanah nanti adalah sesuatu yang berbeza dengan sistem 'cai' Pas.
Setiausaha Pemuda Amanah Nasional, Fadzil Ahmad berkata, terdapat perbezaan yang jelas antaranya 'cai' semasa di zaman Pas dahulu dibuat secara sembunyi-sembunyi dan tertutup.
"Sementara itu 'cai' di zaman Pemuda Amanah hari ini dibuat secara terbuka dan tiada sedikitpun hasrat mahu sembunyikan gerakan kami.
"Sebahagian besar dalam kalangan Pemuda Amanah hari ini juga pernah merasai perit dan pedihnya peristiwa gugur setandan akibat 'cai' suatu masa dahulu.
"Percayalah, kesan perit dan pedih itulah permulaan kepada inisiatif kami memperkenalkan agenda berpasukan dalam kalangan Pemuda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, senarai Pemuda diperkenalkan turut menawarkan khidmat kerja berpasukan seawal 3 bulan sebelum tarikh pemilihan berlaku.
"Tempoh ini sesuai dan munasabah kepada pemuda-pemuda di seluruh negara untuk semak dan menilai kelayakan setiap seorang calon satu persatu.
"Andai dirasakan salah seorang dari kami malah jika saya sendiri dinilai tidak layak diberi undi, maka kami sedia ditolak dan memberi laluan kepada rakan pemuda yang lain," katanya.
Fadzil berkata, tiada paksaan memilih senarai yang ada bahkan senarai ini dinamik sifatnya.
"Sistem 'cai' yang membibitkan perpecahan dan permusuhan adalah yang dibuat secara tertutup dan tersembunyi.
"Sehinggakan wujud salah guna kedudukan dalam parti mengadakan program tertentu dalam parti untuk promosikan barisan 'cainya' tanpa pengetahuan ahli parti lain yang tidak sealiran. Itulah yang berlaku dalam parti sejarah dahulu," katanya.
Katanya, 'cai' dalam Pemuda Amanah hari ini adalah senarai yang segar dan kami tidak perlu sembunyikan lagi pasukan untuk turun ke bawah perkenalkan pasukan tawaran baharu untuk memimpin Pemuda di masa hadapan.
'Cai' adalah senarai calon yang dicadangkan untuk disokong atau sebaliknya. Oleh kerana sebahagian pemilih tidak mengenali calon-calon yang bertanding, 'cai' dilihat membantu mereka untuk membuat pilihan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!