Korea Utara lancar lagi peluru balistik jarak pendek
SEOUL - Korea Utara hari ini sekali lagi melancarkan dua peluru balistik jarak pendek di luar pantai timur negara itu yang merupakan pelancaran kedua dalam tempoh seminggu.
Menurut tentera di Seoul, dua misil tersebut dilancarkan dari kawasan Kalma berhampiran pelabuhan Wonsan pada jam 5.06 pagi dan 5.27 pagi (waktu tempatan)
Peluru berpandu itu terbang sejauh 250 kilometer (km) dan mencecah ketinggian 30 km sebelum ia jatuh di Laut Jepun yang juga dikenali sebagai Laut Timur.
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Jeong Kyeong-doo berkata, misil tersebut dikenal pasti sebagai jenis yang berbeza daripada model sebelum ini.
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengesahkan pelancaran itu tidak memberi sebarang impak kepada keselamatan negara itu.
Minggu lalu, Pyongyang melancarkan dua peluru balistik jarak pendek pertama yang terbang sejauh 690 km dan 430 km.
Pyongyang mendakwa tindakan provokasi itu adalah sebagai 'amaran penuh' terhadap Seoul berhubung rancangan latihan ketenteraan mereka bersama Washington pada bulan depan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!