Miliki rokok seludup RM700, peniaga didenda RM100,000
KUALA TERENGGANU - Padah memiliki rokok seludup pelbagai jenama yang ditaksirkan bernilai RM737.60, seorang peniaga dijatuhi hukuman denda RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.
Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Muhamad Arif-Azzarudin Abdullah, 25, turut berdepan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku salah di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi nilaian atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang larangan Kastam iaitu pelbagai jenama rokok seludup ditaksirkan bernilai RM737.60 melibatkan cukai sejumlah RM1,340 yang mana barang-barang tersebut adalah barang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2017.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Gong Pauh Chukai, Kemaman, kira-kira jam 4.30 petang, pada 9 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Terengganu di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizi Nik Mohd Shukri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh turut diperintahkan membayar cukai berjumlah RM8,056 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bawah Peruntukan Pembayaran Cukai mengikut Seksyen 119A (1) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Marang, seorang peniaga, Zairul Izwan Mohd Zaki, 24, dijatuhi hukuman lapan bulan penjara atas kesalahan sama iaitu memiliki rokok seludup pelbagai jenama ditaksirkan bernilai RM5,370.
Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan itu di rumah dan di dalam kereta miliknya dalam serbuan di Kampung Alor Lit, Kampung Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 4 petang, pada 24 Mac lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!