Usahawan jamu mohon maaf video singgung rakyat Malaysia

Video 'Bottle Cap Challenge' yang tular sejak dua hari lepas.
Video 'Bottle Cap Challenge' yang tular sejak dua hari lepas.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang usahawan produk Jamu Mahkota Dewi, Azira Maria Aziz, 40, memohon maaf sekiranya video 'Bottle Cap Challenge' yang dimuat naik ke laman sosial dua hari lalu menyinggung sensitiviti rakyat negara ini.

Usahawan yang lebih dikenali sebagai Cikra itu berkata, dia tidak menyangka video tersebut akan tular dan menjadi kecaman warganet.

Katanya, sudah menjadi rutin dia setiap hari untuk memuat naik gambar atau video berkaitan produknya.

"Video itu dibuat untuk suka-suka sahaja ketika saya berada di pusat mencuci kereta dua hari lalu, tak ada niat untuk menyinggung sensitiviti mana-mana pihak.

"Nak kata untuk strategi pemasaran pun mungkin kebetulan juga sebab bila dah tular begini, mungkin orang akan kenal produk saya.

"Mungkin kaedahnya saya khilaf sedikit. Jadi saya mohon maaf dan doakan yang baik-baik sahaja sebab setiap orang tak lari dari kesilapan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Cikra berkata, dia telah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan sejak berusia 21 tahun dan sudah mengusahakan produk jamu itu sejak dua tahun lalu.

Video 'Bottle Cap Challenge' Cikra tular sejak kelmarin di laman sosial Facebook dan beberapa blog tempatan.

Artikel Berkaitan:

Namun, Cikra berkata, dia sudah memadamkan video itu dari laman sosial peribadinya semalam.

Beliau juga menafikan dia adalah Ketua Srikandi Bersatu di Kelantan sebaliknya hanya ahli biasa sahaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!