Edisi terhad Honda CR-V Mugen
HONDA Malaysia baru-baru ini mengumumkan model edisi terhad CR-V Mugen yang telah mula dijual untuk pasaran tempatan. Model itu juga dihasilkan terhad hanya untuk penjualan sebanyak 300 unit.
CR-V Mugen itu dihasilkan berasaskan model varian pertengahan 1.5L Turbo 2WD dengan dua harga berbeza mengikut warna badan.
Untuk mereka yang berminat dengan warna Passion Red Pearl, ia dijual pada harga RM152,900, manakala bagi warna badan White Orchid Pearl pula berharga RM153,300. Harga yang dinyatakan ialah harga atas jalan tanpa insurans.
Honda CR-V Mugen itu masih lagi dijana dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo 193 PS pada 5,600 rpm dan tork maksima 243 Nm tork dari 2,000 rpm hingga 5,000 rpm serta digandingkan dengan transmisi CVT untuk memacu roda hadapan.
CR-V edisi terhad itu datang dengan kit badan Mugen asli yang terdiri daripada kemasan gril hadapan, spoiler bawah bampar hadapan dan belakang, kemasan seakan skirt pada bahagian sisi, spoiler bumbung lebih besar dan juga emblem-emblem Mugen di tempat sepatutnya.
Kit badan itu ialah produk yang sama dipadankan pada model konsep CR-V Mugen di KLIMS 2018 dan juga Malaysia Autoshow 2019. Malah kit yang sama juga telah membuat penampilan di Tokyo Auto Salon 2019 awal tahun ini dan juga boleh didapati di laman web rasmi Mugen Jepun.
Bagaimanapun, rim Mugen MDR 19-inci tidak dibekalkan dan ia masih dipadankan dengan rim aloi 18-inci standard.
Tiada perubahan diberikan pada kelengkapan lain dan ia masih dibekalkan dengan ciri-ciri sama seperti 1.5L Turbo 2WD standard. Seperkara, di sebelah luar CR-V itu diberikan lampu utama, DRL dan lampu kabus kesemuanya ialah LED, penderia parkir di hadapan dan belakang serta penggilap cermin automatik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!