'Ainul berjaga malam, siang baru nak tidur'
KUALA LUMPUR - Corak tidur Ainul Mardiah 11 bulan, masih belum seragam, demikian dedah ayahnya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24.
Ahmad Safiuddin berkata, ini kerana anaknya itu akan berjaga pada waktu malam dan akan tidur di waktu siang.
"Budak ini lah yang pukul 12 malam semalam sampai 5 pagi tak nak tidur. Dia main sorang-sorang. Dah siang ni baru nak tidur.
"Walid kacau suruh dia bangun, dia marah. Muka tu dah penuh air liur basi. Hisap jari lepas tu pi sapu satu muka," katanya menerusi satu perkongsian di akaun Facebooknya hari ini.
Ainul pada 25 Mei lalu telah dibawa ke London untuk menjalani pembedahan kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut, bagi membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada 10 Jun lalu di Hospital Great Ormond Street, London.
Ainul Mardhiah kini menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dibawa pulang dari London, Ahad lalu.
Sebelum itu, penerbangan pulang Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia, iaitu Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker serta Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.
Pembedahan ke atas Ainul dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.
Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi tiga hari bulan lepas.
Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut, tular dalam laman sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!