Tidak rasis, sahabat Melayu rai perkahwinan Ane...
"SERONOK ada geng yang 'sporting' macam ini". Itu antara kata-kata netizen yang teruja melihat keakraban pengantin lelaki bangsa India dengan pengapit lelaki dari bangsa Melayu dalam satu majlis perkahwinan di sini.
Kelainan yang dibawa oleh pengantin lelaki pada hari bahagianya mencuri perhatian netizen hingga perkahwinanya tular di media sosial.
Menerusi Twitter Firdaus atau @fxrdausfauzi, mereka adalah rakan seuniversiti dan selepas tamat pengajian hubungan persahabatan tetap disemai meskipun melangkah ke alam pekerjaan.
"Kami mengambil jurusan yang sama, Shatheswaran juga pernah belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
"Jadi dia membesar dalam komuniti Melayu dan tidak kekok untuk berkawan dengan kami," katanya.
Memetik portal Mstar, R. Shatheswaran memberitahu, kesembilan sahabat karibnya ibarat adik-beradik ketika mereka melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.
Meskipun jarak usia mereka sekitar lima tahun tidak menghalang mereka untuk setia bersahabat sehingga kini malah memanggil Shatheswaran 'Ane' (abang dalam bahasa Tamil).
Lelaki berusia 31 tahun itu terharu dengan kesediaan sembilan rakannya menjayakan majlis perkahwinan dan menjadi salah satu memori terindah.
Jelasnya, dia turut berasa bertuah apabila kesemua rakannya itu membantu melancarkan perjalanan majlis perkahwinannya dengan menjadi pengurus lantai, deejay, melayan dan menari bersama tetamu.
Pengantin baharu itu turut menghabiskan sekitar RM1,500 untuk membeli satu set persalinan tradisional untuk pengapit lelaki yang dipanggil 'jippa' (baju) dan 'vheti' (kain sarung).
Rata-rata netizen begitu mengkagumi persahabatan mereka kerana sentiasa menyokong antara satu sama lain walaupun berlainan bangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!