Restoran terbakar, jejas taman tema air
SEPANYOL - Para pelancong panik dan lari menyelamatkan diri apabila sebuah restoran terbakar berhampiran taman tema air di Gran Canaria, di sini.
Rakaman dramatik durasi 2 minit 49 saat itu tular di media sosial.
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara hingga merebak ke taman tema itu dan mengemparkan para pengunjung.
Semua pengunjung lari menyelamatkan diri dan ada juga yang sempat menaiki teksi untuk beredar dari Aqualand di resort Maspalomas.
Mereka terpaksa menutup muka untuk mengelak dari terhidu asap tebal yang berwarna hitam.
Seorang pelancong di taman tema air, Jorge Rodriguez berkata, "Kami dengan pantas meninggalkan lokasi itu dan berterima kasih kepada pasukan penyelamat kerana bertindak pantas menangani bencana itu."
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, api semakin marak apabila api merebak di pusat pengumpulan sampah dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
"15 buah kereta yang parkir di restoran itu turut terjejas akibat kebakaran itu," katanya.
Menurut saksi, dia terdengar bunyi letupan kuat dari dalam sebuah restoran susulan sebuah tong gas telah meletup.
Jurucakap penyelaras perkhidmatan kecemasan serantau berkata, kerja-kerja pemadaman telah dilakukan.
"Api berjaya di kawal dan pihak berkuasa juga berada di lokasi untuk memantau keselamatan para pengunjung.
"Seorang lelaki mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan di hospital berhampiran," katanya. - Daily Mail
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!