Tiga pekerja resort dikhuatiri hilang

Fauzi, Mohamad Hafiz dan Mohammad Firdaus dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol
Fauzi, Mohamad Hafiz dan Mohammad Firdaus dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol
A
A
A

DUNGUN - Tiga pekerja resort dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol di sini hari ini apabila tidak muncul di resort mereka selepas hampir tiga jam berlepas menaiki bot untuk ke pulau itu.

Fauzi Mohammad, 40; Mohammad Firdaus Mohd Awalludin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, yang bekerja di Resort Pulau Tenggol dikatakan berlepas dari Jeti Aking di Seberang Pintasan, Dungun kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, Fauzi dan Mohd Hafiz yang berasal dari Kuala Abang, Dungun dan Mohammad Firdaus yang berasal dari Simpang Renggam, Johor didapati belum tiba di Pulau Tenggol sehingga jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Polis menerima laporan mengenai kejadian ini kira-kira jam 3.15 petang selepas dihubungi Pusat Kawalan Radio (RC) Melaka yang memaklumkan kes itu.

"Kakitangan resort juga cuba menghubungi ketiga-tiga mangsa selepas didapati belum sampai ke resort mereka kira-kira jam 3 petang tetapi gagal," katanya.

Katanya, kejadian itu telah dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu, Pasukan Polis Marin Kuantan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun untuk menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Operasi SAR dijangka dimulakan pagi esok memandangkan keadaan hari sudah malam dan lokasi sebenar mangsa hilang tidak diketahui dan sedang dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!