Puding Diraja Pahang menu istimewa Majlis Santapan Diraja

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Majlis Santapan Diraja sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara, malam ini. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Majlis Santapan Diraja sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara, malam ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Makanan tradisional Melayu sentuhan peribadi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menjadi antara hidangan pencuci mulut istimewa Majlis Santapan Diraja di Istana Negara, malam ini.

Majlis Santapan Diraja itu diadakan bagi meraikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Majlis santapan, yang dihadiri Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-raja Melayu dan kerabat diraja, menyajikan antara lain Puding Diraja Pahang, Kacau Labu, Kacau Keledek, Wajik Kasirat, Wajik Ubi, Wajik Durian, Buah Tanjung, Taik Itik dan Kuih Tonjet sebagai pencuci mulut.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri-menteri kabinet, duta dan perwakilan asing serta pegawai kanan kerajaan, adalah antara 700 tetamu yang hadir pada majlis santapan itu.

Persembahan sempena Majlis Santapan Diraja itu dimulakan dengan tarian Ayak-ayak oleh kumpulan Permata Seni Tari, diikuti persembahan khas video kapsul riwayat hidup Seri Paduka berdua dan Istiadat Pertabalan.

Sambil menjamu selera, hadirin dihiburkan dengan muzik instrumental lagu-lagu Pahang antaranya Walinong Sari, Burung Kenek-kenek, Menghilir Sungai Pahang, Lemak Manis Tebang Tebu dan Kain Songket oleh Orkestra RTM.

Tidak ketinggalan persembahan muzik instrumental lagu-lagu evergreen seperti Lately, Barefoot Girl, How Deep Is You Love dan Antara Anyer dan Jakarta, serta nyanyian oleh Dayang Nurfaizah.

Tarian Joget Pahang oleh Permata Seni Tari menutup persembahan pada majlis itu. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!