Teh mutiara dan Sinar Harian 13 tahun
Gambar hiasan
A
A
A
Tetapi ada minuman popular yang setiap 100ml mengandungi 20 sudu teh gula dan ada penggemar yang menyedut atau meneguk empat kali @ 400ml minuman tersebut setiap hari.
Bayangkan kita disyorkan tujuh sudu teh gula sehari, tetapi kita minum 80 sudu. Kita memang terlebih manis!
Sekarang ada pula minuman baharu, teh mutiara atau bubble tea yang menjadi trend dan kegilaan dalam kalangan remaja. Seperti dilaporkan di Subang Jaya - jiran komuniti saya - sahaja ada lebih 10 kedai menjual minuman jenis ini.
Seperti diberitakan, walaupun harganya lebih mahal berbanding minuman lain, tiap masa orang berbaris panjang untuk membeli minuman bermutiara ini.
Kegilaan dan trend baru ini membimbangkan pihak-pihak yang prihatin, termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau menasihatkan penyedia minuman, termasuk minuman dalam tin dan botol, supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk minuman sihat.
Kata menteri berkenaan: “Jika mereka mempunyai rasa tanggungjawab, mereka akan mematuhinya untuk menghasilkan minuman sihat yang mengandungi gula kurang daripada 5g setiap 100ml.”
Menteri itu juga menasihatkan orang ramai supaya berpada-pada dalam pengambilan gula, untuk memastikan kehidupan dan generasi yang lebih sihat.
“Keputusan atas pengguna sendiri bagi menghindari menjadi obesiti,” katanya sambil menegaskan bahawa Malaysia adalah antara negara paling ramai manusia obesiti di Asia Tenggara.
Nasihat seperti itu sejak dulu lagi telah kerap kita dengar daripada menteri sebelumnya, juga daripada pakar pemakanan dan pakar perubatan.
Harap-harap pengusaha minuman tin dan botol mematuhi syarat yang diberikan, lebih-lebih lagi setelah cukai gula dilaksanakan.
Saya tidak pasti apakah pembuat minuman di restoran dan gerai makanan, termasuk gerai kecil bawah pokok atau di lorong belakang, ada rasa prihatin terhadap gula.
Apa yang saya pasti - dan selalu terjadi - setiap kali memesan teh tarik saya meminta supaya dikurangkan gula. Tetapi teh yang dihidangkan masih tetap manis.
Hatta sekiranya saya tegaskan berkali-kali kepada pelayan yang mengambil pesanan “teh tarik, kurang, kurang manis”, minuman yang tiba tetap manis.
Maka cara terbaik ialah minta air mineral dalam botol. Atau, pesan air panas kosong dan bawa teh dan gula sendiri.
Perihal bahaya gula telah kerap diberitahu. Kajian Kementerian Kesihatan mendapati satu daripada dua rakyat Malaysia yang mengalami obesiti adalah faktor utama bagi beberapa penyakit tidak
berjangkit (NCD), seperti hipertensi, penyakit kardiovaskular dan kencing manis yang menyumbang kepada peningkatan yang membimbangkan.
Kata Dr Dzulkefly, dianggarkan 73 peratus kematian disumbangkan oleh NCD, dengan penyakit kardiovaskular termasuk serangan jantung dan strok sebagai penyumbang terbesar.
Secara peribadi saya setuju dengan menteri bahawa pengguna sendiri yang sepatutnya menentukan kandungan gula yang hendak diambil baik dalam minuman atau makanan. Kalau hendak sihat, pilih cara yang sihat.
Tetapi ada ketikanya tidak mudah juga membuat pilihan, walaupun tanpa paksaan. Lebih-lebih lagi di negeri pantai timur yang sejak dulu terkenal terlebih manis.
Maka teringat saya ketika kali pertama ditukarkan di Kota Bharu untuk menerbitkan akhbar Sinar Harian. Di Negeri Cik Siti Wan kembang ini memang terkenal serba-serbi manis.
Kuih-muih semua bergula pekat. Tepung pelita, akok, jala emas, bunga tanjung, nekbat dan sekian banyak kuih tradisional semuanya manis.
Malah, makanan yang di KL tidak bergula pun di negeri berkenaan dimakan dengan gula, termasuk roti canai. Kari roti canai pun dibubuh gula. Demikianlah manisnya Kelantan.
Maka tidaklah menghairankan sekiranya isteri saya - dia tidak ikut berpindah - berkali-kali berpesan supaya saya mengelakkan makanan dan minuman manis. Dia bimbang kencing manis saya.
Saya menenangkan dia supaya jangan bimbang sangat pada kemanisan dalam akok atau nekbat. Dia sepatutnya lebih bimbang pada kemanisan pada wajah mek-mek Kota Bharu.
Sampai saat ini, genap 13 tahun Sinar Harian, kencing manis saya dapat dikawal. Tetapi kemanisan wajah-wajah di Serambi Mekah masih terlekat di hati, lebih daripada teh mutiara!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!