Selagi ada kudrat...
YAN - Seorang wanita warga emas gigih menjaga ibu dan adiknya yang sakit meskipun kudrat sendiri turut terbatas.
Hasnah Abd kadir, 62, yang hanya menggunakan tongkat untuk bergerak perlu menjaga ibunya yang mengalami masalah penglihatan dan juga adiknya yang menghidap masalah kegagalan fungsi buah pinggang.
Menurut Hasnah, dia mula menggunakan tongkat untuk bergerak sejak enam tahun lalu ekoran mengalami kemalangan jalan raya.
Katanya, sebelum ini dia tinggal bersendirian bersama anak-anaknya semenjak suaminya meninggal dunia.
"Lepas anak semua dah keluar rumah sebab ada yang dah berkahwin saya mai duduk dengan mak sebab keadaan mak dan adik semakin teruk," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teroi semalam.
Hasnah berkata, anak bongsunya masih lagi belajar dan hanya mengharapkan pinjaman pelajaran untuk menampung keperluan.
"Saya ada dapat bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) RM200 tapi jumlah tu hanya cukup untuk saya gunakan bagi membeli barangan keperluan dapur.
"Mak saya pun ada dapat bantuan zakat juga dengan jumlah yang sama, duit yang mak dapat kami guna untuk bayar bil dan keperluan ubat," katanya.
Ibunya, Khatijah@sofea shafie, 81 perlu diuruskan sepenuhnya kerana mengalami masalah penglihatan.
"Kalau dia nak makan nasi pun saya kena suap sebab dia memang tak nampak, tambah nak ke bilik air dan sebagainya memang perlu dipapah," katanya.
Menurut Hasnah, adiknya Rosli Abd Kadir, 60 tidak berkahwin dan mula sakit sejak awal tahun lalu.
"Keadaan dia sangat teruk sekarang ni dengan muka dan perut yang membengkak menyebabkan rawatan dialisis perlu dijalankan.
"Baru ni dia kena tahan wad selama 24 hari dan sekarang ni kami tengah runsing nak cari duit untuk jalankan rawatan dialisis untuk dia," katanya.
Menurut Hasnah, kos untuk membuat dialisis ialah RM200 untuk satu sesi dan adiknya perlu menjalani tiga sesi setiap minggu menjadikan kos yang diperlukan sebanyak RM2,400 sebulan.
"Itu tak termasuk kos perubatan dan juga keperluan lampin pakai buang dan banyak lagi.
"Mujur dia ada dapat RM200 daripada JKM boleh juga guna habuan beli ubat tapi nak buat rawatan memang tak cukup.
"Kami sangat runsing duk fikir masalah ini dan mengharapkan ada pihak sudi tampil membantu," ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun Agro Bank 2005111000115967 atas nama Hasnah Abd Kadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!