Tidak patut Indonesia diketepikan

A
A
A

LAWATAN Tun Dr Mahathir ke Turki pada Julai 2019 mencatatkan beberapa perkembangan terbaru bukan sahaja dalam hubungan Putrajaya-Ankara, tetapi juga dalam konteks hubungan multilateral sebahagian negara Islam. Dalam perbualan bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan, Dr Mahathir secara khusus menekankan kepentingan mengeratkan hubungan antara Malaysia, Pakistan, dan Turki dalam mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa-kuasa besar.

Antara tumpuan kedua-dua pemimpin itu ialah tentang kerjasama dalam bidang pertahanan yang membabitkan aspek pemindahan teknologi dan kedaulatan pertahanan. Untuk rekod, Turki sememangnya memiliki sistem pertahanan antara yang terbaik di dunia dengan syarikat seperti Aselsun dan Rocketsun.

Turkish Aerospace Industries (TAI) pula giat membangunkan Program Hurjet iaitu jet latihan lanjutan dan jet pejuang ringan. Maka tidak hairanlah apabila Dr Mahathir bersama-sama Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) melawat fasiliti TAI untuk meninjau sendiri kemajuan industri aeroangkasa Turki.

TAI mempamerkan keseluruhan model keluarannya seperti pesawat latihan dan tempur ringan Hurkus, helikopter penggempur T129 ATAK, pesawat tanpa pemandu Anka serta prototaip dan mock-up jet pejuang generasi ke-5 Turki, TFX dan jet latihan dan serangan ringan Hurjet.

Turki dilaporkan berhasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan pesawat tanpa pemandu Anka keluaran TAI dengan kerjasama syarikat Malaysia iaitu Deftech.

Dr Mahathir turut mengundang firma Turki untuk melabur atau menjalinkan perkongsian dengan rakan perniagaan tempatan dalam tiga sektor utama di Malaysia iaitu aeroangkasa, automotif serta jentera dan kelengkapan.

Potensi

Namun begitu, sebarang kerjasama multilateral untuk memperkasakan negara-negara Islam tidak seharusnya meminggirkan negara dengan populasi umat Islam terbesar di dunia iaitu Indonesia. Indonesia bukan sahaja merupakan anggota negara G20 dan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), tetapi juga memainkan peranan besar di rantau timur sebagai penguasa bersama Selat Melaka dengan reputasi pengeluar utama LNG dan kelapa sawit.

Dari segi ekonomi pula, pemilihan Menteri Kewangan Indonesia iaitu Sri Mulyani sebagai Menteri dan Menteri Kewangan Terbaik di Dunia beberapa tahun berturut-turut melambangkan kejayaan memandu ekonomi Indonesia 'mencapai hasil ketara dalam mengurangkan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup, mengurangkan hutang awam dan meningkatkan ketelusan transaksi awam'.

Di bawah teraju beliau, ekonomi Indonesia berkembang ke tangga ke-3 dalam kalangan negara G-20, setanding dengan China dan India.

Artikel Berkaitan:

Dari segi geopolitik pula, Indonesia berpotensi besar membantu Malaysia mengimbangi persaingan Amerika-China di rantau ini. Pembelian 11 pesawat Sukhoi SU-35 atau turut dikenali sebagai Flanker E buatan Rusia lengkap dengan persenjataannya bakal menjadikan Indonesia antara kuasa yang perlu dihormati.

Jakarta juga tidak selesa dengan sikap agresif Beijing di Laut China Selatan. Malah, beberapa kali wilayah EEZ Indonesia dicerobohi nelayan China yang dilindungi pegawai pantai China yang lengkap bersenjata. Akibatnya, Jakarta pada tahun 2017 telah menukar nama lautnya di Laut China Selatan kepada Laut Utara Natuna yang dibantah keras oleh China.

Doktrin ‘Poros Maritim Dunia’ Presiden Joko Widodo sebagai fokus dasar luar beliau juga menawarkan potensi yang bukan sedikit. Dasar Poros Maritim Dunia boleh dimanfaatkan sesuai dengan perkembangan sejak pemeteraian ‘Security Arrangement 1972 MALINDO’ serta ‘Security Arrangement 1984’ di mana wujudnya General Border Committee (GBC MALINDO) yang menjadi forum perbincangan langkah ketenteraan dua hala Malaysia-Indonesia. Di bawah GBC MALINDO ini pula terdapatnya enam badan perancangan operasi– Tim Perancang Operasi Darat (TPOD); Tim Perancang Operasi Laut (TPOL); Tim Perancang Operasi Udara (TPOU); Tim Perancang Operasi Kepolisian (TPOK); Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM); serta Tim Perancang Intelijen (TPJ).

Malaysia juga memiliki diplomasi pertahanan sedia ada dengan Indonesia yang dikenali sebagai MALINDO. Selain kerjasama komprehensif yang merangkumi keseluruhan latihan bersama darat, samudera dan angkasa (Darsasa), diplomasi pertahanan MALINDO turut melibatkan angkatan laut (Malindo Jaya), angkatan darat (Kekar Malindo), dan juga udara (Elang Malindo).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!