Laluan bertingkat hadiah istimewa penduduk Tanah Merah

Pandangan dari atas projek persimpangan bertingkat Tanah Merah.
Pandangan dari atas projek persimpangan bertingkat Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Laluan bertingkat yang dibina di tengah bandar ini disifatkan sebagai hadiah istimewa kepada penduduk dan pengguna jalan raya dalam menikmati arus pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Projek pembinaan laluan bertingkat sepanjang 1.1 kilometer itu adalah hasil usaha Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang bukan hanya dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di bandar itu malah ia turut memberi kesan kepada sektor ekonomi, pelancongan dan juga peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Aktivis masyarakat Tanah Merah, Izani Zakaria berkata pembinaan projek itu bakal memberi keselesaan dan kemudahan kepada semua masyarakat di daerah ini selain penduduk dari Machang, Jeli dan Pasir Mas.

"Contohnya, sebelum ini pengguna dari Jeli dan Pasir Mas yang mahu ke Machang terpaksa melalui jalan kawasan pasar yang sesak, apabila adanya laluan bertingkat ini ia dapat menjimatkan masa, pengguna tidak lagi berdepan dengan kesesakan itu.

"Begitu juga pengguna tidak lagi terpaksa menunggu setiap kali kereta api melepasi laluannya yang sebelum ini akan mengambil masa agak lama untuk ke bandar itu," katanya.

Projek terbabit yang mempunyai tiga zon iaitu laluan Pasir Mas, Machang dan Jeli mula dibina pada tahun 2016 dengan kos RM153 juta bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di bandar itu.

Izani berkata projek persimpangan bertingkat itu juga menjadi mercu tanda baharu kepada pembangunan di bandar terbabit.

"Ia akan menjana lebih banyak ekonomi kepada peniaga-peniaga di sekitar Tanah Merah berikutan mempunyai kemudahan awam yang baik dan mampu menarik pelabur-pelabur luar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Che Azmi Che Mohammad, 53, berkata antara kesulitan terpaksa dihadapinya hampir 20 tahun sebagai perniaga di bandar itu adalah masalah kesesakan jalan raya yang tidak pernah selesai terutamanya pada musim cuti.

"Setiap hari saya terpaksa menempuh perjalanan yang mengambil masa lama untuk memulakan perniagaan ditambah lagi ketika kereta api melalui kawasan tersebut yang memaksa saya menunggu lebih 20 minit.

“Masalah yang terpaksa ditempuh pengguna jalan raya itu bukan sehari, tetapi sudah lebih puluhan tahun lalu, dengan siapnya pembinaan projek ini ia akan dapat menyelesaikan masalah itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mahsari Group Wan Rakemi Wan Zahari berkata projek itu dibina oleh anak syarikat Mahsari Group iaitu After Image Sdn Bhd telah 95 peratus disiapkan dengan beberapa inovasi baharu yang dibina pada projek terbabit.

"Antara inovasi adalah Hollowbox yang mana satu keadah yang cepat dan tidak mengganggu kelancaran lalu lintas semasa pembinaan dan kaedah ini tidak menutup jalan bagi pelaksanaan projek dan sistem laluan dua aras bagi lintasan kereta api iaitu laluan di bawah dan di atas," katanya.

Wan Rakemi berkata projek itu hampir 100 peratus menggunakan khidmat penduduk tempatan dari daerah ini sekali gus membuka peluang pekerjaan.

"Sebagai syarikat anak jati Tanah Merah, kami menggunakan perkhidmatan profesional daripada kalangan anak Tanah Merah sendiri seperti pengurus projek, jurutera, teknikal dan sebagainya sehingga melibatkan 220 pekerja dalam pembinaan projek ini," katanya.

Katanya beliau melihat projek itu mampu menjana pertumbuhan ekonomi kepada peniaga kecil berdekatan bandar ini dengan menarik lebih ramai pelancong datang ke daerah itu dengan adanya kemudahan awam terbabit.

"Apabila infrastruktur lebih baik secara automatik pihak pelabur dan pihak yang berminat untuk membuka perniagaan semakin besar di bandar ini begitu juga hartanah penduduk di sekitar turut meningkat.

"Projek itu juga merupakan projek pertama di negeri ini malah di Malaysia yang mempunyai dua laluan melepasi laluan kereta api yang memberikan pilihan kepada pengguna," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!