157 hospital diiktiraf Hospital Rakan Bayi

 Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 157 hospital merangkumi 137 hospital kerajaan dan 20 hospital swasta mendapat pengiktirafan Hospital Rakan Bayi setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain hospital, sebanyak 670 klinik kesihatan diiktiraf sebagai Klinik Rakan Bayi di seluruh negara bertujuan mewujudkan Malaysia sebagai negara ‘Mesra Bayi’.

“Kementerian Kesihatan melalui Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III (2016-2025) menggariskan pelbagai strategi menjayakan penyusuan susu ibu.

“Antara strategi itu adalah memperkukuhkan pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Klinik Rakan Bayi serta Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan produk berkaitan termasuk advokasi makanan, latihan untuk anggota kesihatan dan penyebaran maklumat melalui media sosial,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2019 hari ini.

Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia disambut setiap tahun dari 1 hingga 7 Ogos di seluruh dunia, bertujuan memanifestasikan komitmen terhadap usaha mempromosi, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu.

Menurut beliau, bertemakan ‘Caknakan Ibu Bapa, Jayakan Penyusuan - Bertindak Sekarang Demi Masa Depan’, sambutan memasuki tahun ke-27 itu menekankan kepentingan usaha pelbagai pihak dalam mewujudkan rantaian sokongan menyediakan persekitaran yang berupaya memperkasa ibu menyusukan anak secara optimum.

Dzulkefly turut menggariskan beberapa panduan, antaranya bakal ibu bapa perlu mendapatkan ilmu asas penyusuan ketika usia awal kandungan, suami atau ahli keluarga perlu peka mengenai keperluan ibu ketika tempoh menyusukan anak manakala majikan perlu menyediakan persekitaran kondusif termasuk pusat jagaan bayi serta bilik penyusuan.

“Kumpulan sokongan penyusuan susu ibu perlu berkongsi pengalaman untuk memotivasikan golongan ibu secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian menyeru semua ibu bapa serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa untuk terus menyokong dan melindungi penyususan susu ibu demi kelestarian generasi akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!