Doktor, jururawat sudah beri yang terbaik!
KOLUM: LIDAH PENGARANG
BARU-baru ini seorang wartawan Sinar Harian berkesempatan menjenguk saudara terdekat yang dimasukkan ke wad. Rata-ratanya di wad itu dipenuhi dengan pesakit warga emas.
Ada yang berteman, ada yang keseorangan. Sesekali jururawat datang menjengah pesakit yang perlu diberi ubat atau suntikan. Tiba-tiba terdengar suara jeritan seorang pesakit. Umur sekitar 50-an kulit putih bersih. Cara pertuturannya sukar dicam.
Tidak ada jururawat yang datang walau berkali-kali pesakit itu menjerit. Kenapa? Apa yang berlaku? Kenapa tidak ada siapa-siapa ambil kisah tentang pesakit itu.
Tidak lama kemudian, pesakit itu perlahan-lahan turun dari katil. Dia mundar-mandir dan sesekali mengeluh. Seorang jururawat yang lalu berhampirannya meminta dia berbaring. Dia hanya merenung tanpa perasaan.
Selepas dirisik, warga tempatan itu dimasukkan ke wad kerana masalah usus. Difahamkan dia tidak ada waris dan gelandangan. Rupa-rupanya dia menjerit sebagai satu cubaan untuk menarik perhatian. Apabila jururawat datang kepadanya, dia akan minta digaru belakang, digosokkan kaki. Pendek kata wanita itu mahu dibelai.
Ini bukan wayang, bukan drama sebabak, jauh sekali drama rantaian ciptaan pengarah, tetapi satu gambaran kisah pesakit yang mahukan perhatian daripada seorang jururawat dan doktor. Persoalannya mampukah mereka melayan semua?
Sekitar tahun 2017, Sinar Harian pernah melaporkan tentang isu hospital sesak dengan pesakit tetapi petugas hospital terutama doktor tidak cukup.
Malah Sinar Harian juga pernah membangkitkan isu mengenai doktor yang bekerja melebihi 36 jam. Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya kepada Sinar Harian mengakui punca pertambahan ‘on call’ disebabkan kurangnya jumlah doktor di negara ini, sedangkan bilangan pesakit bertambah setiap hari.
Nisbah pesakit di Malaysia pada tahun 2016 adalah 1 doktor untuk setiap 650 pesakit!
Adakah situasinya lebih teruk pada masa kini? Tidak mustahil kerana jika dilihat suasana di hospital dan klinik kesihatan jumlahnya kronik.
Justeru, pesakit yang masih ada waris dan ahli keluarga perlu bertimbang rasa, fahami masalah membelenggu para doktor dan jururawat. Benar, kita mahukan yang terbaik untuk keluarga kita, tetapi jangan sampai mereka pula yang sakit kerana melayan kerenah kita yang macam-macam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!