GOMBAK - Seorang lelaki yang dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah dalam keadaan berbogel lari lintang-pukang selepas disergah penghuni kediaman dua tingkat di Taman Harmonis di sini, semalam. Kejadian berlaku pada jam 3 pagi itu tular apabila penghuni rumah memuat naik video berdurasi 1.01 minit di media sosial. Aksi dan gerak-geri lelaki terbabit dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah terbabit. Timbalan Ketua Polis Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kejadian disedari seorang penghuni rumah berusia 28 tahun. Menurutnya, mangsa terdengar bunyi sesuatu di tingkat bawah sebelum melihat kelibat seorang lelaki dalam keadaan bogel. "Pengadu jerit apabila dapati suspek cuba mengumpil tingkap depan rumahnya. Jeritannya menyebabkan suspek kelam kabut melarikan diri ke arah jalan utama," katanya menerusi satu kenyataan. Beliau berkata, selepas melihat kembali rakaman CCTV suspek didapati datang seorang diri dan cuba untuk pecah masuk melalui tingkap depan rumah di tingkat bawah. Pengadu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian untuk tindakan lanjut.