Aliran trafik di drawbridge lancar
KUALA TERENGGANU - Aliran trafik di jambatan angkat atau drawbridge berjalan lancar selepas ia dibuka semula kepada orang awam bermula jam 6 pagi tadi.
Jumlah kenderaan yang menggunakan laluan itu mula bertambah pada jam 7 pagi selepas satu jam ia dibuka.
Pembukaan jambatan hari ini juga tidak begitu menampakkan 'keterujaan' orang ramai berbanding tempoh percubaan pada 2 Jun lalu.
Malahan situasi di jambatan ikonik Terengganu itu kelihatan begitu tenang dan terkawal.
Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan angkat bermula hari ini.
Bagaimanapun katanya, kenderaan tidak boleh diletakkan atau berhenti kerana boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.
Bangunan ikonik Terengganu ini mula dibina pada 2014 membabitkan kos RM248 juta dan pembinaannya melibatkan laluan utama jambatan, empat menara, dan dua 'sky bridge'.
Dengan panjang keseluruhan 638 meter dan ketinggian 12.5 meter dari aras laut, jambatan itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir.
Ia adalah jambatan ikonik yang pertama seumpamanya di rantau ini dan bakal menjadi salah satu mercu tanda negeri ini.
Ia juga merupakan antara komponen pembangunan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTTC) yang sedang rancak dibangunkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!