Harga petrol: Mingguan atau bulanan, rakyat tak kisah
KOTA BHARU – Rakyat tidak kisah dengan mekanisme penetapan harga minyak secara mingguan atau bulanan.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, apa yang rakyat mahu ketika ini ialah harga minyak yang rendah.
Walaupun PRU14 sudah melepasi tujuh bulan, namun katanya, rakyat tidak akan lupa pada slogan pemimpin PH, ‘menang hari ini, esok kita turunkan harga minyak’.
Namun sehingga ke hari ini beliau berkata, harga minyak tidak berada pada paras yang dikehendaki.
“Pas serah soal mekanisme penetapan harga kepada kerajaan asalkan ia tidak membebankan rakyat.
“Buatlah apa sahaja, asalkan keperluan rakyat dipenuhi, sebagaimana janji mereka dalam manifesto lalu,” katanya, selepas Majlis Pelancaran Logo Pusat Belia Kelantan di Medan Usahawan Kota Bharu.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat dan Adun Chetok, Zuraidin Abdullah.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia pada ketika ini, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia yang menurun sekarang.
Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019, membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!