Pencuri durian kena belasah
MARANG - Gara-gara mencuri buah durian dari dusun milik penduduk di Lubuk Batu di sini, seorang lelaki cedera dibelasah sekumpulan penduduk berhampiran dusun durian itu hari ini.
Dalam kejadian awal pagi itu, motosikal dinaiki suspek turut terbakar namun punca sebenar kebakaran jentera dua roda yang digunakan untuk mengangkut durian curi itu tidak diketahui.
Difahamkan, perbuatan lelaki itu berjaya dikesan selepas pemilik dusun bersama penduduk melakukan rondaan sebelum ternampak suspek membawa seguni durian dipercayai hasil curi.
Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Lubuk Batu, Safuan Mamat, 22, berkata, suspek bersama dua lagi rakannya dipercayai memasuki kebun durian secara bergilir-gilir bermula tengah malam.
Bagaimanapun katanya, penduduk hanya berjaya menahan salah seorang daripada mereka kira-kira jam 6 pagi apabila suspek kebetulan berada dalam kawasan kebun bersama seguni durian.
"Saya difahamkan suspek kemudian diikat dan dibelasah, tapi dalam keadaan kelam-kabut berjaya melarikan diri. Suspek dan dua lagi rakannya itu juga dipercayai tinggal di kampung berdekatan.
“Kita mengetahui kegiatan mereka sudah berlanjutan sejak durian mula luruh, tapi pemilik dusun tidak berani mengambil tindakan kerana sebelum ini mereka sering dilihat berada di luar kawasan kebun," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sementara MPPK pula akan menggiatkan rondaan di kawasan kebun durian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!