Bekalan haiwan ternakan sempena Aidiladha mencukupi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekalan ternakan hidup seperti lembu, kerbau, kambing dan bebiri dijamin mencukupi untuk keperluan umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah korban pada Aidiladha ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, bekalan ternakan bagi tujuan perayaan Hari Raya Korban itu ditentukan berdasarkan perangkaan bekalan semasa lembu tempatan dan lembu yang diimport dalam tempoh tiga bulan sebelum perayaan.

"Mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) stok bekalan lembu dan kerbau tempatan bagi penyembelihan Hari Raya Korban sehingga pada bulan lepas adalah 36,232 ekor manakala bekalan lembu dan kerbau yang diimport adalah 11,816 ekor.

Jumlah keseluruhan bekalan untuk lembu dan kerbau bagi tujuan korban adalah 48,048 ekor.

“Bagi kambing dan bebiri, bekalan tempatan untuk penyembelihan Hari Raya Korban sehingga pada bulan lepas adalah 28,892 ekor manakala bekalan yang diimport adalah 7,048 ekor. Jumlah keseluruhan bekalan untuk kambing dan bebiri bagi tujuan korban adalah 35,940 ekor,” katanya kepada media selepas Majlis Dialog Industri Ruminan di sini hari ini.

Salahuddin berkata, setelah mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, dianggarkan permintaan lembu dan kerbau untuk ibadah korban adalah 43,808 ekor, manakala kambing dan bebiri 21,832 ekor untuk tahun ini.

“Ini bermakna permintaan bekalan ternakan lembu dan kerbau untuk korban adalah 43,808 ekor dan 48,048 ekor sudah ada di dalam negara. Manakala permintaan bekalan ternakan kambing dan bebiri adalah 22,355 ekor dan 35,940 ekor sudah ada di dalam negara,” katanya.

Selain bekalan ternakan tempatan, sumber bekalan lembu dan kerbau juga diimport dari Thailand dan Australia, manakala sumber bekalan kambing dan bebiri import adalah dari Australia, katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 28 buah rumah sembelih DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi dan 12 daripada rumah sembelih berkenaan telah memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan daripada Australia, katanya.

“DVS telah mengeluarkan lesen kepada 44 buah rumah sembelih ruminan swasta di seluruh Semenanjung Malaysia bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.

“Penyembelihan yang dijalankan di luar rumah sembelih seperti di masjid, sekolah, taman perumahan, tempat awam dan lain-lain, diberi kebenaran melalui permohonan permit penyembelihan luar yang boleh didapati di rumah-rumah sembelih Jabatan dan juga DVS Negeri dan Daerah,” katanya.

Salahuddin berkata, 317 pegawai dari DVS akan bertugas dari 10 hingga 14 Ogos ini untuk membuat pemeriksaan veterinar sebelum sembelih di seluruh Semanjung Malaysia.

Katanya, DVS telah menerbitkan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban antaranya panduan berkaitan operasi penyembelihan dan pengurusan sisa ternakan untuk mengelakkan risiko jangkitan penyakit zoonotik.

“Bagi meningkatkan keberkesanan dan pengendalian ternakan semasa korban, DVS merancang 30 slot program Kempen Kesedaran Pengurusan dan Pengendalian Ternakan Korban 2019 di kesemua 28 rumah sembelih jabatan di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

Program itu dijangka melibatkan antara 900 dan 1,500 peserta yang akan memberi penekanan dari segi kaedah pengendalian ternakan sebelum korban, semasa korban, penjagaan kebersihan daging dan kesihatan awam veterinar, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!