Pencuri tikam penduduk elak dicekup
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki nekad memecah masuk rumah di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus untuk bersembunyi bagi mengelak ditangkap selepas tindakannya mencuri duit di sebuah kedai runcit disedari penduduk kampung itu semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, suspek berusia 27 tahun itu dikatakan turut bertindak agresif apabila menikam dua lelaki termasuk seorang pemilik rumah dengan sebilah pisau sejurus memasuki rumah berkenaan.
Sumber berkata, sebelum kejadian suspek yang didakwa mencuri duit di sebuah kedai runcit melarikan diri selepas dikejar penduduk sebelum nekad memecah masuk sebuah rumah dipercayai untuk bersembunyi.
"Suspek yang masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan terus bertindak menikam pemilik rumah berusia 65 tahun di bahagian muka menggunakan pisau dan menikam tangan seorang penduduk kampung berumur 25 tahun yang mengejarnya sehingga ke dalam rumah.
"Seterusnya, suspek dilihat dalam ketakutan cuba menyelongkar dan menggeledah rumah mangsa sebelum menyembunyikan diri di atas bumbung rumah tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, suspek yang enggan turun dari bumbung rumah meskipun dibaling dengan batu oleh penduduk akhirnya akur menyerah diri selepas anggota polis tiba.
"Akibat kecederaan parah kerana dibelasah dan dibaling batu oleh penduduk, suspek dihantar menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sebelum ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!