Cawangan LZS kini beroperasi di UTC Shah Alam
SHAH ALAM - Cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini yang ditutup pada 8 Julai lepas kini beroperasi di lokasi baharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seksyen 14, Shah Alam.
LZS dalam satu kenyataan memberitahu, cawangan di UTC itu memulakan operasinya hari ini dan waktu berurusan adalah seperti yang ditetapkan pengurusan pusat berkenaan iaitu dari pukul pukul 1.00 petang sehingga 10 malam setiap Isnin hingga Jumaat dan 8.00 pagi sehingga 5.00 petang untuk hari9 Sabtu dan Ahad.
“Bagaimanapun waktu operasi ini khusus untuk cawangan LZS di UTC sahaja, manakala waktu operasi di 26 cawangan LZS yang lain adalah seperti biasa.
“Pembukaan cawangan di UTC ini merupakan inisiatif bagi memudahkan masyarakat terutama di kawasan sekitar untuk berurusan dengan LZS di luar jangkauan waktu pejabat dan hari cuti,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.
Menurut LZS, antara perkhidmatan yang disediakan institusi itu di cawangan UTC berkenaan termasuk urusan taksiran dan bayaran zakat selain khidmat rundingan berkaitan agihan zakat, fidyah, wakaf, sedekah serta wang tidak patuh syariah.
Selain itu, cawangan LZS di UTC tersebut turut menyediakan saluran pembayaran zakat melalui kad kredit Islamik serta kad debit, dan orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh hubungi LZS dengan menelefon Talian Zakat Selangor 1-300-88 4343. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!