KUALA SELANGOR - Cadangan penggubalan undang-undang gangguan seksual melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seksual disifatkan tidak munasabah. Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB), Juwairiya Zulkifli berkata, cadangan itu bukan sahaja merendahkan martabat golongan wanita, malah menunjukkan lelaki seolah-olah mudah tergoda sehingga melakukan perbuatan jenayah. "Jenayah terhadap wanita berlaku tanpa mengira umur, budaya dan gaya hidup. "Ia adalah jenayah keganasan yang tidak dibuktikan berpunca daripada tindakan dan etika berpakaian wanita yang mengundang kepada jenayah tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini. Juwairiya yang juga ADUN Bukit Malawati berkata, sebagai badan pemikir yang ditubuhkan bagi merangka dasar dan strategi yang membawa kepada pemberdayaan wanita, IWB percaya tentang kepentingan wanita berdikari, berani dan mahir mempertahankan diri. "IWB juga melaksanakan beberapa program demi memberi penekanan terhadap kefahaman gender seperti Bengkel Penulisan Ilmiah dan Bengkel Kesedaran Gender. "Kekurangan pemahaman terhadap sensitiviti gender antara punca kenyataan itu diucapkan," katanya. Menurutnya, IWB juga bertindak proaktif dengan memulakan langkah awal pelaksanaan pengarusperdanaan gender di peringkat negeri ini. "Hal ini penting supaya pemimpin dan masyarakat di setiap peringkat mendapat pendedahan dan pemahaman mengenai perlaksanaan seperti Belanjawan Responsif Gender, Pengumpulan Data Pecahan Jantina dan siri bengkel kemahiran gender. "IWB berharap pembuat dasar menyasarkan cadangan polisi yang substantif seperti menyediakan kemudahan serta ruang yang selamat dan kondusif untuk golongan rentan termasuk wanita, selain meningkatkan usaha pengarusperdanaan gender ke peringkat nasional," katanya. Semalam, Senator Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Imran Abd Hamid, mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol. Mohamad Imran berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 di Dewan Negara. Beliau menggesa cadangan itu dilakukan bagi menjamin 'keselamatan' golongan lelaki, sekali gus menjadikan negara aman.