Umno elok sangat bubar
KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah mengulangi pendiriannya mengenai Umno sepatutnya sudah lama dibubarkan kerana tiada ada kelebihan untuk ditawarkan kepada rakyat.
Menurutnya, parti itu tiada masa depan dan wajar ditutup ditambah dengan pergolakan dalaman sehingga sebahagian besar pemimpin mereka beralih arah kepada PH.
"Rakyat dah beri peluang kepada mereka selama 60 tahun, tapi sekarang tak ada apa-apa lagi yang mampu mereka beri untuk rakyat.
"Bubar sahajalah... malah ramai pemimpin lain termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang umpamakan Umno sebagai bahtera yang bocor," katanya, selepas Majlis Pelancaran Logo Pusat Belia Kelantan di Medan Usahawan Kota Bharu.
Terdahulu, dalam satu temuramah ‘An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang” di Dublin, Ireland, Abdul Hadi menyifatkan Umno ibarat bahtera bocor, sekaligus menafikan dakwaan akan berlaku penggabungan antara Pas dan Umno sebagai parti politik.
Beliau berkata, gabungan kedua-dua parti itu akan hanya menambahkan kesulitan.
“Umno sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama.
“Nak gabung dengan parti bocor ini satu benda yang sulit dan payah,” katanya yang dipetik menerusi Harian Metro.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!