Lapan pemilik tanah bakal disaman RM1 juta
KAJANG - Saman hampir RM1 juta dan penjara menanti lapan pemilik tanah bersebelahan Plaza Tol Sungai Long di sini yang membiarkan kawasan itu dijadikan tapak pelupusan sampah haram hampir dua tahun.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, tindakan mahkamah itu akan dikenakan di bawah akta Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurutnya, tindakan tegas itu terpaksa diambil selepas pemiliknya enggan bersemuka walaupun telah dipanggil beberapa kali oleh pihak berwajib.
"Difahamkan sampah haram ini telah beroperasi selama 18 bulan dan pernah dikenakan tindakan kompaun serta sitaan sebanyak 18 lori oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).
"Lapan pemilik tanah ini telah dikenal pasti berdepan tindakan sama oleh JAS sebanyak RM500,000 diikuti PTD sebanyak RM250,000 dan PBT sebanyak RM25,000,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja operasi pemadaman api di tapak pelupusan sampah yang terbakar sejak Selasa lalu di sini hari ini.
Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.
Sementara itu, Sze Han berkata, enakmen baharu bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada individu atau pihak yang membuang sampah secara haram dijangka dilaksanakan tahun depan.
"Tanpa enakmen baharu itu, kerajaan negeri sukar menangani situasi pembuangan sampah haram yang semakin berleluasa ketika ini.
"Ia juga bagi memastikan pihak industri menggunakan kontraktor yang berdaftar dengan PBT atau kontraktor dari PBT itu sendiri, " katanya.
Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati hampir semua tapak pelupusan sampah haram datang dari industri membabitkan sampah industri binaan, hotel dan pusat membeli belah.
“Ini kerana kontraktor yang dilantik oleh pihak berkenaan tidak mematuhi syarat dan tidak mengetahui prosedur pembuangan sampah yang betul menyebabkan sampah dibuang ke tapak haram," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!