Sekeluarga nyaris tinggal sehelai sepinggang
KOTA TINGGI - Sebuah keluarga di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Sungai Layau di sini nyaris tinggal sehelai sepinggang selepas kawasan garaj kereta mereka terbakar kira-kira jam 3.56 pagi tadi dipercayai akibat perbuatan khianat.
Bagaimanapun api tidak sempat merebak ke kawasan ruang rumah lain selepas ia sempat dipadamkan.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Faizal Ahmad berkata, seramai sembilan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan.
"Kejadian disedari tuan rumah yang pada awalnya terdengar bunyi terjatuh sebelum mendapati kebakaran telah berlaku.
"Kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang berada dalam keadaan parkir di garaj berkenaan.
"Ketika bomba sampai, api di kawasan garaj telah berjaya dipadamkan tuan rumah dan hanya tinggal api di kawasan kereta," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, pemilik rumah mendakwa kemungkinan kebakaran itu berpunca dari perbuatan khianat.
Namun katanya, pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian.
Jelasnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan bomba berjaya menamatkan operasi pada jam 5.02 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!