AADK bakal bangunkan pusat pemulihan di pulau
KUAH - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sedang mengenalpasti lokasi di beberapa buah pulau di sini untuk dibangunkan sebuah pusat rawatan dan pemulihan bersepadu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pusat itu juga akan menyediakan kemahiran vokasional dalam bidang tertentu seperti perikanan dan tanaman.
Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah untuk melengkapkan pesakit dengan ilmu kemahiran dalam meneruskan kehidupan mereka kelak.
"Sekiranya projek ini berjaya direalisasikan, kemahiran itu juga mampu menjana pendapatan bagi membiayai sebahagian kos rawatan di pusat terbabit.
"Malah ia juga berupaya untuk membekalkan makanan dan produk ke Pulau Langkawi yang akan seterusnya memberi manfaat kepada kemajuan pulau ini," katanya.
Beliau ditemui selepas tinjauan ke beberapa buah pulau di sini bagi tujuan pembangunan pusat pemulihan berkenaan yang turut disertai Pengarah AADK Kedah, Rohayu Ahmad.
Zulkifli berkata, dalam tinjauan terbabit pihaknya turut mengambil kira kesesuaian bentuk muka bumi, sumber air selain jaraknya dengan tanah besar.
"Ini akan menjadi pusat pemulihan bersepadu pertama dalam pulau ini nanti. Bagaimanapun ia masih terlalu awal untuk kita berkongsi tentang pulau mana yang sesuai.
"Banyak lagi perkara yang perlu kita perhalusi selain mengenal pasti kebaikan dan keburukan pelaksanaannya," katanya.
Katanya, pusat berkenaan dipercayai mampu menampung kira-kira 300 orang pesakit dalam satu-satu masa.
"Proses pemulihan sebegini memerlukan perhatian secara individu.Lagi kurang lagi bagus,dapat juga kaunselor beri fokus kepada pesakit," katanya.
Sementara itu, Zulkifli menyeru anggota dan pegawai agensi kerajaan atau bukan kerajaan yang terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah mengikuti rawatan modul khas diperkenalkan agensi itu.
"Kita perkenalkan Modul Tempat Kerja Bebas Dadah. Melalui program ini kita bantu banyak agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuklah polis ", katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!