Drawbridge: Laluan kapal beroperasi September
KUALA TERENGGANU - Bascule atau daun jambatan bagi membolehkan jambatan angkat Terengganu dibuka untuk laluan kapal dijangka akan beroperasi dalam tempoh sebulan lagi iaitu pada awal September.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated (TI) Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud berkata, daun jambatan yang berukuran 76 meter menggunakan teknologi hidraulik termaju itu kini dalam proses penyelenggaraan sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, pihaknya kini juga dalam proses perbincangan bersama Jabatan Laut bagi menentukan jadual dan waktu yang sesuai untuk kemudahan itu dibuka.
“Bascule tidak boleh dibuka sewenang-wenangnya kerana sudah tentu akan mengganggu laluan trafik di jambatan angkat ini.
“Sebab itu kita akan menyediakan jadual bagi menetapkan waktu dan untuk memaklumkan bila daun jambatan ini akan diangkat atau dibuka sebagai maklumat awal kepada pengguna yang menggunakan laluan di sini,” katanya ketika ditemui media selepas hadir pada pembukaan jambatan angkat hari ini.
Mengulas lanjut, Khalizan berkata, buat masa ini pihaknya merancang untuk membukanya sebanyak dua atau tiga kali seminggu selain pada waktu kecemasan atau berdasarkan keperluan.
“Sehingga petang semalam kita masih melakukan ujian pengendalian dan kita dapati tiada masalah untuk membukanya.
“Orang ramai juga tidak perlu risau kerana kita memiliki sistem antara yang tercanggih di dunia yang dapat membuka dan menutup jambatan dengan cepat dan selamat," katanya.
Mercu tanda ikonik baharu Terengganu yang menggunakan teknologi hidraulik bascule termaju itu turut mempunyai nilai estetika yang tinggi apabila menggabungkan unsur budaya dan warisan masyarakat Terengganu.
Berketinggian 12.5 meter daripada aras laut, jambatan sepanjang 638 meter yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).
Jambatan yang bernilai RM248 juta itu mula dibina pada Ogos 2014 dengan turut disokong dua menara setinggi 15 tingkat pada bahagian kiri dan kanan serta boleh diangkat pada bahagian tengah untuk laluan kapal.
Pada bahagian menara dan jambatan udara jambatan angkat itu terdapat ruang solat, bilik air dan tempat penyediaan makanan di tingkat 13, manakala tingkat 14 pula disediakan sebuah restoran mewah.
Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Manir dan Jambatan Pulau Sekati.
Pembinaan jambatan itu bertujuan memperbaiki aliran trafik di KTCC selain menjadi jalan alternatif dengan memendekkan masa perjalanan sekurang-kurangnya 15 minit dari Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!