APM Jeli tangkap empat tedung selar
JELI - Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jeli menangkap empat ekor ular tedung selar di empat lokasi berbeza di sini.
Pegawai APM Jeli, Leftenan Pertahanan Awam (PA), Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, tedung selar seberat 10kg antara empat ular yang ditangkap bermula Ahad lalu.
"Tangkapan pada 28 Julai melibatkan dua ekor tedung selar, masing-masing seekor di Kampung Bukit Ipoh dan Bukit Jering.
"Di Bukit Ipoh tedung selar seberat 10kg dengan panjang lima meter merupakan paling besar berbanding empat yang lain," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Ahmad Suhaizi berkata, tangkapan kedua pada hari sama melibatkan tedung selar seberat 8kg.
"Tangkapan kedua boleh dikategorikan agak sukar ditangkap apabila reptilia berkenaan bertindak menyembunyikan diri dalam lubang tandas milik penduduk kampung berkenaan" katanya.
Katanya, tangkapan ketiga pula melibatkan tedung selar seberat 4kg yang ditangkap di Kampung Pasir Dusun 30 Julai lalu.
"Manakala tangkapan keempat semalam melibatkan tedung selar seberat 6kg," katanya.
Ahmad Suhaizi turut mengingatkan orang ramai agak lebih berhati-hati dan sentiasa memastikan persekitaran kediaman bersih serta terjaga.
"Elakkan tempat-tempat yang boleh mengundang kedatangan binatang berbisa di persekitaran kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!