Kemas Terengganu tambah kursus kraf kayu
HULU TERENGGANU - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu bakal mempelopori bidang kraf kreatif kayu bagi Kursus Quick Win tahun hadapan dalam usaha melahirkan usahawan dalam bidang tersebut.
Pengarahnya, Dr Faridah Mat berkata, pihaknya juga sedang berusaha membuat permohonan bagi mendapatkan alat bantuan kraf kayu.
Menurutnya, Terengganu mempunyai pakar dalam bidang kraf kayu di Dungun dan Kemas sudah memulakan kraf berkenaan tahun ini.
“Kita merancang untuk menyenaraikan kraf ini di bawah Kursus Quick Win sekali gus menjadi antara kursus penting selepas bakeri, pastri, jahitan dan dandanan diri,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kit Peralatan Kursus Quick Win Pastri dan Jahitan Variasi Jubah kepada 30 peserta di Pejabat Kemas Parlimen Hulu Terengganu semalam.
Hadir sama, Penyelia Kanan Kemas Parlimen Hulu Terengganu, Mohamad Sahari Musa.
Katanya, Kemas sudah menyediakan satu studio bagi tujuan itu.
Faridah memberitahu, sepanjang tahun ini kursus Quick Win disertai 325 peserta di seluruh Terengganu membabitkan peruntukan kira-kira RM680,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!