Menjiwai Merdeka dan Hijrah 1441
TAHUN ini kita didatangi sambutan Kemerdekaan (31hb Ogos ) dan Hijrah (1hb September) hampir serentak. Hijrah berimplikasi perubahan, manakala merdeka bererti pembebasan. Tidak merdeka jika tiada perubahan, tiada perubahan jika dalam keadaan dijajah.
Akan tetapi pada tahun ini juga kita berdepan dengan sejumlah persoalan. Dalam semangat Malaysia Baharu kita melihat banyak harapan sekali gus dihadapkan juga dengan banyak cabaran. Banyak yang telah dilakukan namun banyak lagi yang perlu dilaksanakan. Banyak yang telah digerakkan namun masih sedikit yang berhasil dan membawa kesan yang diharapkan.
Ketika menjangkau usia negara 64 tahun merdeka, kita tidak sepi daripada terkesan dengan pelbagai persoalan, dari dalam dan luar negara. Menggarap isu lokal, melibatkan soal dasar kerajaan dan segala perincian bidang dalam kehidupan rakyat. Dengan realiti yang sangat mencabar, khittah perjuangan membangun negara dalam rangka Rukun Negara dan dibingkai oleh Perlembagaan Persekutuan berasaskan Raja berperlembagaan, kita perlu melangkah dengan cermat.
Dalam semangat untuk mencapai kemajuan kita tetap mengingatkan bahawa kita punya falsafah dan kaedah sendiri. Mencapai kemerdekaan adalah wasilah, namun berhijrah adalah untuk mengapai konsep negara yang merangkum kebaikan untuk seluruh warga. Pokoknya berusaha untuk mencorak negara yang layak mendapat gelaran 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur'.
Kita juga bersua era baharu Malaysia dengan segala dinamikanya. Debat politik dan senario politik baharu mendedahkan rakyat kepada cabaran dan pendekatan yang semakin kompleks. Isu yang bermunculan sejak Mei 9, 2018, menambah lagi ruang untuk seluruh kepimpinan dan rakyat memainkan peranan secara aktif.
Semua perlu siap menjadi aktor konstruktif, bukan saling menuding dan menjatuhkan. Kepimpinan negara, sama ada pemerintah mahupun pembangkang perlu banyak bermuhasabah. Dalam kesibukan para pemimpin mengendali urusan negara, ‘membedah diri’, meneliti dan mengkaji kekuatan dan kelemahan sangat penting. Penyakit lupa diri dan terperangkap dengan sindrom 'serba sempurna' sangat merbahaya.
Perubahan
Roh hijrah adalah berintipatikan perubahan (taghyir) dan semangat kemerdekaan adalah untuk merealisasikan pembebasan (tahrir). Perubahan harus memenuhi kedua-dua dimensi bersifat dalaman dan luaran. Perubahan berasaskan soal aqidah yang benar dan membina sahsiah dan tsaqafah (budaya) yang tepat adalah agenda yang disebut acuan (sibghah) sendiri. Pembebasan harus bermula daripada anjakan jati diri hingga merdeka daripada penjajahan dan penindasan dalam semua aspek kehidupan. Bebas daripada perhambaan dan menjadi alat kepada orang lain adalah kemerdekaan sejati.Bila diungkap persoalan perubahan dan pembebasan, maksud kami ialah hadaf (matlamat) kita ialah ke arah terbentuk dan tertegaknya kehidupan Islam secara fungsional dalam segala kelengkapan dan kesempurnaannya. Kehidupan Islamik yang diterjemah pada setiap perjalanan sama ada ditingkat perseorangan mahupun ditingkat keluarga, masyarakat serta bernegara.
Oleh itu, kami menyarankan proses penghayatan terhadap perubahan yang hendak dibawa kepada setiap pemimpin negara. Perjuangan yang benar-benar mempunyai daya penerusan dan konsistensi ialah apabila penerajunya, pemimpinnya, aktivisnya dan pendokongnya menjadi cerminan yang berfungsi menterjemahkan pada diri sendiri segala yang diseru dan yang disemboyankan.
Jelas usaha untuk menampilkan diri sebagai umat terbaik terhalang oleh bebanan yang dipikul oleh umat itu sendiri. Kita sedang berhadapan dengan cabaran bukan sahaja daripada anasir luar akan tetapi juga cabaran internal. Kita sedang berdepan krisis multidimensi, merentas bidang dan merangkum seluruh warga ummah. Ummah kehilangan daya, wibawa dan jati diri. Akibatnya parah. Ummah yang bergantung kepada orang lain mudah diperkotak-katikkan. Bermakna hilang kuasa dan kedaulatan. Akhirnya nasib ditentukan bukan oleh diri sendiri akan tetapi oleh pihak lain.
Sebagai akibat, umat terheret dalam kesesatan. Kesesatan ini ditambah parah dengan ketidakupayaan para ilmuan dan agamawan memberi pencerahan. Arus kemodenan mengaburkan garis pemisah antara haq dan batil. Dengan yang demikian mulai muncul faham sesat lagi mengelirukan.
Daripada kerosakan pemikiran inilah krisis umat mulai membibit. Kebejatan sosial dengan segala bentuk dan coraknya tidak terupaya dibendung. Memang banyak pihak yang memperkatakan ehwal umat yang sangat merunsingkan. Akan tetapi hanya bersungut sahaja yang dapat didengari.
Kita perlu merdeka dan berhijrah dalam erti kata sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!