Tadabbur al-Quran di Bukit Fraser
BUKIT Fraser menjadi tarikan pelancong untuk menikmati flora dan fauna yang masih terpelihara di peta Raub, Pahang. Perjalanan ke situ penuh berliku, namun memberi kepuasan kepada pengunjung apabila tiba di destinasi setinggi 1,420 meter dari aras laut.
Kehijauan tumbuh-tumbuhan, kesegaran udara yang dingin dan nyaman serta bunyi burung di kawasan itu mampu melepaskan tekanan.
Itulah lokasi yang sesuai untuk sesiapa sahaja membebaskan diri daripada hiruk-pikuk kehidupan di bandar dan bertafakur dengan alam.
Atas faktor itu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengambil inisiatif menganjurkan Fraser’s Hill #QuranHour bersama warganya dan rakan sinergi, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASI) dan Ar-Rahman Quranic Learning (AQL) Centre Indonesia di Bukit Fraser pada 1 hingga 3 Julai lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Bukit Fraser merupakan lokasi strategik untuk mengadakan aktiviti kerohanian iaitu berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.
"Fraser’s Hill #QuranHour boleh dijadikan pengisian produk pelancongan Islam dengan kerjasama Tourism Pahang, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser, masjid, sekolah dan hotel di sekitar kawasan berkenaan.
"Selain menjadi tarikan pengunjung untuk bercuti dan melihat pelbagai jenis burung, Bukit Fraser sesuai dijadikan tempat pengukuhan jiwa dengan al-Quran dan as-Sunnah bagi pasangan, keluarga, organisasi dan masyarakat umum di dalam dan luar negara," katanya ketika ditemui pada program itu baru-baru ini.
Beliau menambah, selain aktiviti seperti menunggang kuda, memanah, mendaki bukit, dan menjejak alam semula jadi, lokasi tersebut sesuai untuk dijadikan tempat perjumpaan keluarga, pengukuhan perkahwinan dan pemerkasaan organisasi yang berpandukan al-Quran, seterusnya membawa visi Masuk Syurga Sekeluarga.
“Ini juga menjadi perancangan WUIF dalam 'mengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah' dalam tempoh 60 tahun dari sekarang'.
“Harapan saya, ayat-ayat al-Quran yang bergema di Bukit Fraser dapat merawat jiwa insan dan mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Pencipta. Ia merupakan inisiatif untuk menangani cabaran akhir zaman,” katanya.
Pada program selama tiga hari dua malam itu, peserta diberi pengisian berinteraksi dengan Surah al-Rahman yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik, Fazrul Ismail dan pendakwah yang juga penulis buku Masuk Syurga Sekeluarga, Ustaz Bachtiar Nasir.
Sesi berinteraksi dengan al-Quran diadakan selepas solat awal pagi pada jam 4.30 pagi dan bersambung selepas solat Subuh.
Selain itu, peserta juga mengikut aktiviti trekking dan ke tempat Air Terjun Jeriau, Bukit Fraser. Berjalan sambil menikmati pemandangan alam semula jadi mengajak peserta untuk bertafakur dengan alam yang dijadikan oleh ALLAH al-Rahman.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai atau bersinergi menjayakan program Fraser’s Hill #QuranHour, hubungi atau WhatsApp kepada pihak WUIF di talian 013-682 6335 (Maslinda).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!