Pemandu teksi didakwa rompak duit buruh Myanmar

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak wang tunai RM1,700 milik buruh warga Myanmar, Khamis lepas.

A.Elangovan, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Lelaki itu didakwa bersama-sama dua individu yang masih bebas telah melakukan rompak berkumpulan ke atas wang tunai RM1,700 milik Abdul Shukur Habibul Rahman, 25, di tepi Jalan Stesen Sentral, KL Sentral, Brickfields di sini pada 5 petang, 20 Disember lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amirul Asyraf Abdul Rasid tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu serius, bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Tharamjit Singh memohon supaya dibenar ikat jamin dengan alasan tertuduh penanggung tunggal keluarga.
Artikel Berkaitan:


“Anak guam saya bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan RM1,200 sebulan. Dia mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan dua anak yang masih kecil. Saya mohon jaminan dibenarkan kerana ini adalah kesalahan kali pertamanya,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan Elangovan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu dan tidak menganggu saksi pendakwaan dan 16 Januari 2019 ditetapkan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!