Remaja antara ditahan APMM
PARIT BUNTAR - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun antara yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan rawa serong, kira-kira 2.5 batu nautika di barat laut Pulau Pasir Hitam berhampiran Bagan Panchor, semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Safril Aza Mustapa berkata, remaja yang bekerja sebagai awak-awak itu ditahan bersama tekong bot berusia 27 tahun oleh sepasukan anggota Bot Kilat yang melakukan rondaan di perairan Kerian dan Larut Matang sekitar jam 11 malam.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, bot digunakan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan tiada lesen menangkap ikan yang sah dikeluarkan Jabatan Perikanan.
"Kedua-dua lelaki yang ditahan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil, sementara bot dan beberapa peralatan dianggarkan bernilai RM30,000 dirampas bagi tujuan siasatan di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.
Beliau meminta orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan jenayah dan kes kecemasan di laut agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!