PATI tak sempat balik kampung

Mohamad (kiri) menunjukkan bot yang dinaiki PATI untuk pulang ke Indonesia.
Mohamad (kiri) menunjukkan bot yang dinaiki PATI untuk pulang ke Indonesia.
A
A
A

BATU PAHAT- Hasrat 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia untuk pulang ke kampung halaman menerusi laluan tidak sah tidak kesampaian apabila ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Pengarah APMM Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua PATI tersebut yang berumur di antara 20 hingga 50 tahun kebanyakkannya bekerja di Pahang, Selangor dan Johor itu dipercayai mahu pulang ke negara asal selepas paspot mereka tamat tempoh.

Menurutnya, bagaimanapun bot dengan enjin sangkut yang dinaiki mereka berjaya dikesan bot ronda APMM apabila hanyut dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 3.25 petang, semalam.

"Kesemua PATI tersebut ditahan berhampiran Sungai Benut iaitu kira-kira lima batu nautika dari barat Pulau Pisang dan turut ditahan ialah seorang tekong dan awak-awak warga Indonesia termasuk seorang awak-awak warga Malaysia berumur 20 tahun.

"Semasa proses tangkapan, tindakan terpaksa dibuat dengan amat berhati-hati kerana saiz bot yang dinaiki mereka amat kecil dan terpaksa berasak-asak dan sekiranya berlaku sedikit kesilapan kecil semasa pelayaran bot tersebut, besar kemungkinan bot ini akan karam dan mengakibatkan kemalangan jiwa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Pangkalan APMM Batu Pahat di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka ditipu oleh tekong darat yang meminta bayaran di antara RM1,000 hingga RM1,850 seorang selain dijanjikan akan dibawa pulang menaiki feri dan akan diturunkan di Dumai, Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Mohamad (tengah) melihat PATI yang berjaya ditahan.
Mohamad (tengah) melihat PATI yang berjaya ditahan.

"Sebaliknya, lain pula yang terjadi apabila mereka hanya dibawa menaiki sebuah bot kecil dengan enjin sangkut sahaja sebelum bot berkenaan mengalami kerosakan enjin sehingga mengakibatkan mereka hanyut di lautan kira-kira lapan jam sebelum diselamatkan oleh kami.

"Kesemua warganegara Indonesia kini ditahan reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959/62 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 manakala awak-awak warga Malaysia pula direman tujuh hari kerana cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan serta menjalankan aktiviti penyeludupan migran," katanya.

Katanya, APMM Batu Pahat telah menjalankan sebanyak 3,220 pemeriksaan dan telah melakukan 46 tangkapan sehingga 2 Ogos ini selain serius untuk memastikan keselamatan dan mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda di perairan negara ini.

"Operasi seperti ini akan dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi membendung dan membanteras aktiviti penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut untuk keluar dan masuk memandangkan cara ini amat berbahaya berbanding laluan yang sah tanpa perlu menggadai nyawa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!