JSJK Selangor cari 95 individu
SHAH ALAM - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor giat mengesan 95 individu bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah komersial di negeri ini sejak 2009 sehingga kini yang membabitkan kerugian mencecah RM4 juta.
Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, semua individu berkenaan berusia lingkungan 20 hingga 60-an dan ada antara mereka menetap di luar negeri ini.
"Seramai 62 individu adalah lelaki manakala selebihnya adalah wanita membabitkan pelbagai bangsa.
“Sebanyak 85 kes adalah membabitkan kes penipuan dan 10 lagi adalah kes pecah amanah membabitkan anggaran kerugian RM3 juta hingga RM4 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Beliau berkata, pihaknya berharap semua individu tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi pegawai penyiasat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, semua gambar individu itu juga dipaparkan menerusi akaun Facebook rasmi Polis Selangor.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat JSJK Selangor atau ke balai polis berhampiran.
“Dalam masa sama, polis juga sedang mempergiat usaha mengesan semua individu berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!