Rakyat perlu tumpah taat setia kepada kepimpinan Agong
KUALA LUMPUR - Rakyat di negara ini hendaklah menumpahkan sepenuh taat setia kepada kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memastikan segala agenda pentadbiran dan kemakmuran dapat dicapai.
Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata rakyat, khususnya umat Islam perlu meletakkan ketaatan kepada pemerintah selagi tiada kecenderungan kemaksiatan, apatah lagi status Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama dan ketua negara.
“Kita juga pastinya menginginkan negara ini berkembang pesat dalam keadaan seluruh rakyat hidup bahagia dan harmoni. Maka sepatutnya kita bersama-sama memelihara keamanan dan kesatuan yang telah terbina dan meninggalkan sebarang usaha negatif yang berhasrat merosakkan keharmonian ini,” katanya semasa menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya.
Khutbah khas bertajuk 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara' yang disiarkan secara langsung di saluran TV1 itu adalah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa. Teks khutbah itu boleh dimuat naik melalui laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sultan Abdullah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di masjid itu yang turut disertai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menegaskan bahawa sistem raja berperlembagaan yang diamalkan sejak merdeka adalah lambang kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini, Syaikh Ismail berkata seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, umur dan latar pendidikan perlu memahami kewujudan institusi raja di negara ini, khususnya peranan institusi itu dalam mengemudi Islam untuk terus terpelihara kedudukan serta fungsinya.
Katanya menjadi ketua bagi sebuah negara merupakan suatu tugas yang sangat berat dengan cabaran datang dalam pelbagai bentuk dan arah, serta telah wujud sejak sekian lama dalam Sistem Kesultanan Melayu.
"Terdapat segelintir pihak yang sengaja melemparkan persepsi negatif terhadap institusi beraja. Terdapat juga individu yang semakin berani menghina para sultan dan raja di negara ini.
“Ada juga dalam kalangan kumpulan yang sengaja mempertikaikan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti mempertikaikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, iaitu tanggungjawab memelihara hak istimewa orang Melayu," katanya.
Syaikh Ismail berkata seluruh rakyat jelata meyakini bahawa Yang di-Pertuan Agong, selaku penaung tertinggi agama Islam, merupakan teladan untuk membawa mesej agama sebagai rahmat sekalian alam kepada bumi Malaysia dengan mengharmoni dan menyatukan kepelbagaian pada seluruh rakyat.
“Seluruh rakyat jelata selama ini telah menjadi saksi serta menyanjung kesantunan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mencemar duli dalam menyelami hal ehwal rakyat dan negara, dengan penuh pengharapan agar ia terus dilangsungkan sepanjang pemerintahan,” katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!