Tanjung Kling dicemari sisa arang batu

Abu Bakar menunjukkan perairan sekitar Jeti Tanjung Kling yang dicemari sisa arang batu dipercayai dari kapal negara Indonesia yang berlabuh di kawasan terbabit.
Abu Bakar menunjukkan perairan sekitar Jeti Tanjung Kling yang dicemari sisa arang batu dipercayai dari kapal negara Indonesia yang berlabuh di kawasan terbabit.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Nelayan di jeti Tanjung Kling di sini, melahirkan rasa bimbang dan kekesalan apabila perairan Tanjung Kling yang cantik telah dicemari sisa arang batu.

Pencemaran yang didakwa dilakukan kapal dari Indonesia yang membawa muatan arang batu bukan baharu berlaku sejak 2017 namun sehingga sekarang belum menemui jalan penyelesaian.

Ketua Nelayan Jeti Tanjung Kling, Abu Bakar Japar, 64, berkata, pencemaran itu berlaku dipercayai berpunca daripada kapal-kapal yang membawa muatan arang batu dengan mengambil jalan mudah membuang sisa arang batu di perairan tersebut.

Menurutnya, pihaknya telah memanjangkan perkara itu kepada pihak berkaitan kerana menjejaskan hasil tangkapan nelayan.

"Kebetulan semalam ada di antara nelayan yang berjaya merakam kegiatan haram itu semasa dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.

"Melalui rakaman video itu kita dapat lihat perairan dicemari sisa arang batu selain kapal membuang sisa tersebut dan berharap pihak berkuasa dapat pantau serta ambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya.

Nelayan, Md Deris Salleh, 66, berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan hasil tangkapan malah menyebabkan jaring mereka kotor dan sukar untuk dibersihkan.

Artikel Berkaitan:

Md Deris
Md Deris

"Sisa arang batu yang dibuang ini juga menyebabkan perairan menjadi kotor dan meninggalkan sisa berwarna hitam hingga ke tepi pantai.

"Lebih merisaukan kipas bot dan jaring juga rosak sebab tersangkut dengan sisa arang batu berkenaan," katanya.

Sementara itu, Nor Azman berkata, hasil tinjauannya di kawasan tersebut mendapati air laut menjadi kotor dan terdapat sisa-sisa arang batu berwarna hitam di permukaan air.

Menurutnya, sebelum ini, dia menerima banyak rungutan daripada nelayan dan penduduk setempat mengenai pencemaran laut selain rumah penduduk yang berdebu disebabkan projek arang batu suatu ketika dulu.

"Saya harap pihak berwajib seperti Jabatan Laut dan Jabatan Alam Sekitar dapat melakukan pemantauan serta mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat agar masalah ini tidak berterusan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!