Proses saringan untuk pastikan sedia ke tahun satu
PUTRAJAYA - Proses saringan penting bagi memastikan seorang kanak-kanak berumur enam tahun telah bersedia untuk mengikuti persekolahan tahun satu lebih awal dari kohort umurnya, demikian menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia, hari ini.
Jelas kenyataan itu, proses saringan juga memastikan kanak-kanak itu mencapai tahap munasabah dari segi kesediaan mental dan kemampuan membaca sesuai dengan perkembangan kanak-kanak yang berumur enam tahun dan ke atas.
"Adalah tidak tepat untuk mengatakan tindakan saringan yang dilaksanakan bertujuan menafikan hak seseorang kanak-kanak untuk mengikuti alam persekolahan atau mengenakan tekanan ke atas mereka," kata KPM lagi.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan media sebelum ini berkaitan prosedur kemasukan ke sekolah bagi kanak-kanak bawah enam tahun.
Menurut KPM, kelonggaran syarat yang diberikan adalah kepada kanak-kanak (warganegara) yang mencapai umur enam tahun pada tarikh 2 hingga 15 Januari pada tahun persekolahan semasa dan telah mendaftar untuk persekolahan tahun satu bagi kohort umurnya.
"Kanak-kanak ini juga mestilah telah mengikuti kelas prasekolah atau tadika dan memenuhi kriteria yang ditetapkan serta mencapai tahap yang munasabah sesuai dengan kemasukan awal ke tahun satu," katanya.
Menurut KPM, permohonan kemasukan kanak-kanak di bawah umur ke tahun satu boleh dibuat dengan mengisi borang PMA01 yang boleh diperoleh di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang berhampiran.
Jelasnya, calon kanak-kanak terbabit perlu melalui modul saringan bertulis yang mudah dan modul temu bual yang ringkas.
Kedua-dua modul ini dibuat secara berpusat di semua negeri. Kanak-kanak yang melepasi kedua-dua modul akan ditawarkan tempat di tahun satu.
Modul saringan bertulis dan modul temu bual dibina oleh panel yang terdiri daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang prasekolah. Ujian saringan ini telah diamalkan sejak tahun 2003, katanya lagi.
KPM turut mengucapkan terima kasih ke atas semua saranan dan pandangan membina yang telah diberikan termasuk oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
“Kesemua saranan dan pandangan itu akan diambil kira dalam semakan untuk penambahbaikan akan datang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!