Pusat adakan libat urus dengan Pulau Pinang
GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Kerajaan Pusat akan terus mengadakan libat urus dengan Kerajaan Pulau Pinang dalam menyiapkan dan menggubal dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk dibentangkan di Parlimen tahun depan.
Pulau Pinang merupakan negeri yang penting sebagai rakan strategik kepada ekonomi Malaysia yang mana, ia negeri penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan dari semasa ke semasa akan diadakan bagi menghasilkan satu dasar ekonomi yang dapat menjaga kepentingan rakyat dan Pulau Pinang.
"Ini adalah sesi libat urus di antara kementerian dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam usaha kita menyiapkan dan menggubal dokumen RMK12 yang akan dibentangkan dalam Parlimen pada Ogos atau September 2020. Pulau Pinang adalah negeri keenam yang saya mengadakan libat urus.
"Kerajaan Pulau Pinang memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan usaha untuk mempelbagaikan sektor ekonomi dan akan bersama-sama dengan Pusat untuk melaksanakan projek-projek yang berimpak tinggi kerana kita mahu ia sebagai satu lonjakan kepada ekonomi negara," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini tadi.
Terdahulu, Mohamed Azmin hadir Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri bagi menyediakan RMK12 yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan ketua-ketua jabatan.
Mohamed Azmin berkata, kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan baharu iaitu turun padang bagi mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dan agensi terlibat.
"Ada beberapa projek yang dicadangkan kerajaan negeri, oleh itu pihak kementerian akan berterusan mengadakan perbincangan dengan kementerian lain yang berkaitan. Apa yang berlaku sebelum ini, perbincangan hanya di peringkat Pusat (antara kementerian dengan kementerian), tidak melibatkan kerajaan negeri.
"Namun kali ini, kita mengambil pendekatan dengan turun sendiri untuk mendengar dan berbincang dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan negeri tentang keutamaan negeri itu sendiri.
"Buat masa ini, saya tidak dapat dedahkan butiran projek yang dibincangkan kerana ia memerlukan perbincangan selanjutnya seperti cadangan untuk menaik taraf beberapa hospital kerajaan termasuk Hospital Sungai Bakap.
"Inilah yang saya maksudkan keutamaan yang dibangkitkan kerajaan negeri namun saya perlu pulang dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan tentang permintaan ini bagi diberikan keutamaan dalam RMK12," katanya.
Beliau berkata, beberapa projek yang tidak dilaksanakan dalam RMK11 berkemungkinan kerana tiada perbincangan awal antara Pusat dan kerajaan negeri.
"Perkara ini berlaku mungkin ia dilakukan kerajaan Pusat tanpa mendapat persetujuan kerajaan negeri.
"Sebab itu saya dan kementerian berpendapat, adalah penting sebelum kita menggubal dokumen, kita harus dengar dulu daripada kerajaan negeri kerana hanya dengan penglibatan kerajaan negeri, projek-projek ini dapat berjalan dengan lancar dan baik mengikut jadual.
"Walaupun ada beberapa projek yang diumumkan akan dibangunkan di Kedah dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), ia tidak bermakna Pulau Pinang akan diabaikan. Kita kena lihat kekuatan Pulau Pinang dalam perancangan yang akan dibuat," katanya.
Mengulas mengenai projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas, Mohamed Azmin berkata, secara dasarnya kerajaan Pusat mendukung sebarang usaha untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!