Mayat pemilik kebun durian ditemui dalam keadaan berulat
GUA MUSANG - Kebimbangan rakan terjawab apabila satu mayat dipercayai pemilik kebun durian dan getah ditemui dalam keadaan berulat di kebunnya di Kampung Pulai di sini.
Menurut Loh See Lim, 48, dari Kampung Pulai, dia mula mencari mangsa, Wong Yeng, 71, sejak 28 Julai lalu di kebun namun gagal.
"Tiga hari saya memanggilnya di kebun itu namun tiada sahutan. Kebiasaan, dia hanya berada di bangsal dan kebun durian atau getah miliknya sahaja.
"Lalu, saya membuat laporan polis pada 1 Ogos (Khamis) kerana bimbang keselamatannya kerana saya yakin dia masih ada dalam kebun ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mayat Wong Yeng ditemui bersama satu beg galas, sebilah parang dan sabit.
"Pada jam 10.10 pagi, pasukan mencari dan menyelamat tiba di bangsal milik mangsa namun keadaan persekitaran seperti sudah lama ditinggalkan dan makanan juga telah berulat.
"Lokasi penemuan mayat adalah di dalam kebun getah dan anggota mengambil masa 10 minit berjalan kaki dari bangsal milik mangsa. Kemungkinan mangsa telah meninggal dunia seminggu yang lalu.
"Kita menemui mayat mangsa pada jam 11.40 pagi dan kemudian membawa keluar seterusnya menghantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang (HGM) untuk tindakan susulan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!